Baitul Ateeq di musim haji |
Berikut perkongsian pengalaman Saad (bukan nama sebenar) ketika ditemui baru-baru ini. Merupakan lokasi perhimpunan manusia terbesar dunia, tidak kira masa Masjidil Haram tidak pernah sepi daripada dikunjungi daripada umat Islam daripada seluruh pelosok dunia.
Mengimbas pengalaman yang dilalui, Saad yang mengunjungi Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah pada empat tahun lalu berkata, peristiwa itu timbul apabila dia yang kali pertama menjejaki kaki ke rumah Allah itu perlu bersesak melakukan tawaf bersama beberapa warga asing berkulit hitam.
Berbeza saiz fizikal orang Asia terutama di Malaysia yang lebih kecil berbanding golongan itu, Saad yang ditemani ibunya telah ditolak sehingga terpisah daripada petunjuk tawaf (mutawwif) kumpulan rombongan jemaah daripada Malaysia yang disertai.
Perkara itu katanya, menjadikan dia hilang arah daripada mengelilingi Kaabah kerana tidak mempunyai pengalaman melakukan umrah sekaligus menaikkan rasa marah serta tidak senang dengan perbuatan golongan itu.
“Pertama kali ketika memasuki pintu Masjidil Haram dan melihat orang yang sangat ramai mengelilingi Kaabah sudah membuatkan hati gementar, apatah lagi melihat susuk tubuh kebanyakan mereka yang lebih besar. Oleh kerana berada dalam kumpulan, saya lebih bergantung kepada mutawwif yang disediakan.
“Dengan takdir Allah SWT ketika membuat pusingan tawaf saya telah bersesak bersama beberapa kumpulan orang kulit hitam yang berjalan dengan agak kasar sehingga membuatkan saya dan emak terputus daripada pusingan tawaf. Justeru, dalam hati saya timbul rasa tidak puas hati kepada individu tersebut.
“Seperti ada magnet, selepas daripada itu, saya rasa seperti diekori oleh golongan tersebut. Tidak kira ke mana saya pergi pasti ada sahaja orang kulit hitam berhampiran dengan saya,” katanya.
Pada mulanya dianggap kebetulan, namun setelah beberapa hari berada di Tanah Suci, Saad terus berhadapan dengan golongan kulit hitam membuatkan hatinya terdetik kesalahan yang terlintas dalam fikirannya itu ketika pertama kali melakukan tawaf.
“Pada awalnya saya tidak berapa menghiraukan dan cuba menenangkan hati dengan menganggap mungkin masa kehadiran rombongan saya itu serentak seperti rombongan daripada negara itu yang mengunjungi Mekah.
“Namun tidak habis di situ, lebih menghairankan ketika sedang meluruskan saf untuk solat di Masjidil Haram, datang seorang berkulit hitam dengan bertubuh agak tinggi dan berbadan besar menyelit di sebelah saya, sedangkan ruang hanya cukup-cukup sahaja ketika itu.
“Ia sekali lagi menimbulkan rasa tidak berpuas hati saya terhadap mereka. Sehinggalah ketika dalam solat itu saya menyedari mungkin ini kifarah yang Allah berikan secara terus kepada saya kerana berfikiran buruk terhadap orang lain,” ujarnya.
Pengalaman dan pengajaran
Siapa sangka, orang yang pada awalnya tidak disenangi memberi pengajaran dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila bagi Saad.
Kejadian itu katanya berlaku, ketika ia ingin merapati Kaabah dalam situasi yang agak sesak lalu terdapat golongan yang juga berkulit hitam memberi ruang bagi memudahkan usaha tersebut.
“Terlintas dalam hati saya ingin cuba mencium batu Hajarulaswad atau sekurang-kurang melakukan solat sunat di dalam lingkaran Hijr Ismail dan mencium Kaabah. Secara perlahan-lahan saya merapati Kaabah kerana terdapat ramai orang yang sedang tawaf.
“Hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Setelah membuat dua pusingan mengelilingi Kaabah, berlaku keajaiban yang tidak disangka apabila seorang wanita berkulit hitam yang memberikan saya ruang untuk mencium kelambu Kaabah.
“Saya menitiskan air mata ketika sujud kerana terharu. Saya juga sangat bersyukur kerana berpeluang untuk solat di dalam Hijr Ismail walaupun tidak berkesempatan mengucup Hajarulaswad,” jelasnya.
Saad berkata, pengalaman penuh makna itu mengajarnya erti kesabaran di samping tidak mudah melakukan diskriminasi terhadap orang lain yang berbeza bangsa, budaya dan warna kulit. -Utusan