Bila Pelajar Salah Guna Pinjaman Pendidikan...

 
TERDAPAT segelintir penuntut universiti telah menyalahgunakan pinjaman yang mereka dapat dengan membeli barangan yang disukai.

Telefon bimbit baru, jam tangan baru, handbag baru dan macam-macam lagi seolah-olah sebagai benda yang wajib dibeli bila pinjaman mula dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.

Itu belum masuk lagi pakej percutian ke lokasi-lokasi tertentu yang telah dirancang awal-awal bersama rakan. Alahai, bila melihat semua ini, ternyata ia satu pembaziran besar yang dilakukan oleh golongan terpelajar ini.

Bila ada rakan-rakan yang menegur, mulalah masing-masing sentap, lepas tu tarik muka. Tak terkecuali akan ada yang cakap "yang kau dengki tu kenapa. Tolong jangan suka jaga tepi kain orang boleh tak? Duit masing-masing kan, suka hati akulah nak beli apa....tolong jangan sibuk ok"

Isu kampus minggu ini, mengupas perihal isu salah guna wang pinjaman di kalangan penuntut universiti. Wartawan Kampus cuba mendapatkan beberapa pihak bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengapa fenomena sebegini makin menjadi-jadi.


Perlu bijak guna wang pinjaman

" Wah bestnya duit pinjaman dah masuk...apa yang aku nak beli ya? kata Sofia sambil tersenyum. Dek terujanya mendapat wang pinjaman yang cukup banyak, Sofia mula berkira-kira untuk membeli telefon bimbit baru, kasut berjenama dan pelbagai lagi produk yang disukai olehnya.

Walaupun dia tahu apa yang dilakukan itu salah, namun apa nak buat, kehendak dan nafsu mengatasi segala-galanya.

"Nanti bila nak beli buku rujukan, aku mintalah dengan ayah dan emak kat kampung. Mereka bukannya tahu pun duit pinjaman aku dah habis. Jika mereka tanya tentang duit loan tu, aku cakaplah yang loan dah habis, buat bayar yuran pengajian dan belanja harian. Ala, bukannya mereka tahu pun," kata Sofia dalam hati.

Situasi di atas adalah perkara biasa yang berlaku di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Sikap boros dan salah guna pinjaman sudah menjadi fenomena bagi golongan terpelajar ini. Namun begitu, tidak semua yang bersikap sedemikian. Masih ramai penuntut yang bijak menguruskan pinjaman yang diterima dengan sebaiknya. Ada yang sempat menabung di bank semata-mata untuk masa depan masing-masing. Sikap sebegini memang harus dipuji.

Bagi siswa siswi yang diberikan rezeki menerima pinjaman, mereka seharusnya menggunakan pemberian itu secara berhemah dan bijaksana. 

Belilah bahan-bahan rujukan yang boleh digunakan untuk kemajuan pembelajaran dan pengajaran buat diri. Jangan terlalu teruja untuk mendapatkan telefon bimbit baru, melabur dalam skim cepat kaya, membeli pakaian berjenama semata-mata mahu bergaya dan macam-macam lagi barangan yang tidak mendatangkan kebaikan.

Justeru, besar harapan penulis agar semua penuntut masih boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk terhadap pinjaman masing-masing.

Anda golongan terpelajar dan bijak pandai. Malah anda juga bakal pemimpin masa hadapan. Alangkah ruginya jika anda sendiri yang merosakkan diri dengan sikap salah guna pinjaman tersebut. Fikir-fikirkanlah!


Pupuk amalan berjimat, elak pembaziran kewangan

Diakui, banyak barang yang dibeli oleh siswa-siswi sekarang seperti gajet, peralatan telekomunikasi dan komputer. Bagaimanapun, alat seperti telefon bimbit adalah barang berfaedah terutama sekali untuk berkomunikasi sesama mereka dan keluarga. Komputer pula untuk memudahkan membuat tugasan dan memudahkan pembelajaran.
Cuma gajet-gajet ini perlulah dipilih produk yang harganya berpatutan dan tidak terlalu mahal hingga membazir.

Saya memahami bahawa pinjaman yang diterima penuntut sekarang memang tidak mencukupi kerana jumlah disediakan itu hanya cukup membiayai yuran pengajian dan perbelanjaan harian manakala untuk bayaran yuran penginapan, pengangkutan dan makan minum hendaklah bergantung kepada ibu bapa.

Walaupun tidak mencukupi, namun masih ada penuntut yang punyai sikap boros berbelanja dengan membeli barangan tidak mendatangkan kebaikan. Namun begitu, sebagai warga Universiti Multimedia (MMU), saya melihat tidak ramai penuntutnya yang suka membazir.

Ini kerana MMU selalu melayan penuntutnya sebagai seorang dewasa yang tahu membuat keputusan tepat dan terbaik untuk diri sendiri.

Tarikan-tarikan material seperti ini kadang kala memang sukar dielakkan tetapi pihak perbendaharaan universiti sering memberi nasihat kepada mereka tentang pengurusan kewangan bagi mengelakkan pembaziran. Ini juga boleh dibantu oleh ibu bapa dari segi memberi nasihat dan memantau perbelanjaan anak-anak dari semasa ke semasa.

Untuk mengelak pembaziran pinjaman, amalan berjimat cermat perlu dipupuk oleh mereka sejak daripada kecil lagi. Apabila sudah sebati dalam diri, maka mudahlah untuk diamalkan dalam kehidupan harian hingga dewasa.

Bagaimanapun, peranan ibu bapa adalah penting dalam memantau atau mengambil tahu perihal perbelanjaan kewangan anak-anak yang menuntut di institut pengajian tinggi.

Bukan bermakna, jika anak sudah memasuki menara gading maka mereka perlu dibiarkan sahaja untuk membuat keputusan sendiri kerana sudah besar.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu terus memainkan peranan dengan memberikan nasihat tentang perancangan kewangan tetapi pada masa jangan lah sampai ke tahap hendak mengongkong, sebaliknya lebih kepada memberi dan mengingatkan serta menimbulkan kesedaran terhadap buruk atau baik sesuatu perbelanjaan dan elakkan sikap boros.

Saya yakin siswa universiti adalah seorang yang sudah matang untuk membuat keputusan. Namun kadang kala disebabkan keinginan dan terlalu mengikut trend fashion, gadjet terbaharu dan sebagainya menyebabkan segelintir daripada mereka membelanjakan wang secara tidak sewajarnya.

Suka saya menasihatkan mereka supaya sentiasa memikirkan keperluan, kegunaan dan harga sebelum membeli sesuatu barang atau perkhidmatan.

Usah cepat terpengaruh dengan ajakan rakan yang mahukan anda membeli pelbagai jenis barangan. Jika masih keliru, bawalah berbincang dengan ibu bapa, rakan-rakan rapat dan pensyarah serta mereka di sekeliling anda tentang perbelanjaan yang perlu dibuat. Itu yang terbaik bagi mengelakkan pinjaman habis dalam tempoh singkat.

Selvan a/l Adinarayanan
Pengurus (Event) Unit Komunikasi Korporat MMU



Penuntut bijak guna untuk kebaikan

Setiap penuntut di negara ini pastinya akan mendapat bantuan kewangan bagi menampung pengajian mereka di IPT.

Dengan pemberian tersebut, sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban penuntut kerana kebanyakan mereka datang daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), penuntut dibenarkan memohon biasiswa, dermasiswa, pinjaman atau lain-lain bantuan kewangan daripada badan-badan penganjur yang layak dipohon. Syarat dan peraturan penajaan adalah tertakluk kepada pihak berkenaan.

Terdapat penaja yang boleh membiayai siswa di UTeM seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Majlis Amanah Rakyat, Kementerian Pendidikan Malaysia, agensi swasta, badan korporat dan yayasan negeri.

Dalam masa sama, Skim Zamalah Siswazah turut ditawarkan pada yang layak. Namun, ia terhad bagi penuntut pascasiswazah sahaja.

Bagi penuntut di universiti ini, yang menerima pinjaman akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran terutamanya pembayaran yuran, pembelian buku rujukan dan buku teks wajib.

Selain itu, pinjaman yang diterima turut digunakan untuk pembelian buku tulis atau kertas nota, alatan tulis, fotostat dan binding di samping untuk makan dan minum.
Jumlah pinjaman yang diterima berbeza mengikut kursus yang diambil.

Namun begitu jumlah pinjaman  terbabit sudah diselaraskan dengan keperluan sepanjang tempoh pengajian. Justeru, jumlah pinjaman yang diterima oleh mereka adalah mencukupi terutamanya bagi penuntut yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Mengenai fenomena menyalahgunakan pinjaman ke arah pembelian yang tidak mendatangkan faedah, bagi saya penuntut UTeM sudah memahami apa itu pinjaman malah mereka sangat menghargai setiap nilai wang yang diterima oleh mereka.

 Mengenai kaedah bayaran pinjaman pula, sehingga kini, pembiayaan tersebut akan dibayar terus kepada penuntut menerusi waran yang diagihkan kepada mereka yang kemudiannya dikreditkan ke dalam akaun bank yang ditentukan.

Pihak bank akan membuat potongan sejumlah amaun bagi menyelesaikan bayaran yuran pengajian dan lain - lain bayaran yang dikenakan oleh UTeM ke atas setiap siswa siswi. Setakat ini tiada masalah yang timbul dengan kaedah berkenaan.

- Prof Madya Dr Izaidin Abdul Majid
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar)
UTeM


Sumber: Sinar Harian