Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah |
ALOR SETAR – Bagi menghadapi fenomena cuaca panas yang dijangka
melanda negara Mac depan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Kedah bersiap sedia dari aspek logistik dan keanggotaan untuk menghadapi
sebarang kemungkinan.
Penolong Pengarah Operasinya Nazri Zakaria berkata segala persiapan
aset seperti jentera dan tangki air telah dipersiapkan selain memastikan
jumlah anggota yang mencukupi bagi menangani jumlah kebakaran yang
dijangka meningkat.
“Bagi bulan Feb tahun lepas, pihaknya menerima 1,360 panggilan
melibatkan kebakaran ladang, hutan dan belukar manakala Feb tahun ini (1
Feb-22 Feb) sebanyak 401 panggilan diterima.
“Selain itu, kita juga menghadkan jumlah anggota bercuti dengan 10
peratus sahaja yang dibenarkan dalam satu-satu masa,” katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Nazri berkata, sebanyak 105 jentera pelbagai jenis seperti ‘fire
rescue tender’, ‘water tanker’, ‘hydro sub’ dan lain-lain jentera
bersedia untuk digerakkan untuk menangani kebakaran.
Katanya, pemantauan kawasan yang selalu berlaku kebakaran seperti di
Pendang dan Jitra juga akan dipertingkatkan selain kawasan-kawasan
bendang yang ketika ini merupakan musim membakar jerami.
“Kita memberi perhatian kawasan bendang dan menasihatkan orang ramai
terutamanya petani supaya membuat pembakaran pada sebelah malam kerana
pada waktu siang ditambah dengan cuaca panas bimbang api sukar dikawal,”
katanya. – BERNAMA