Bukan Cina Saja, Peniaga Melayu Dan India Pun Tidak Turun Harga - Tun M


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepada umum bahawa unsur perkauman tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu kenaikan harga barang di negara ini.

Malah negarawan itu menjelaskan bahawa terdapat juga segelintir peniaga Melayu dan India yang masih lagi enggan menurunkan harga barang sehingga membebankan rakyat Malaysia.

"Ini bukan soal Cina, Melayu atau orang lain.

"Ini adalah tentang barangan...bukan sahaja barangan yang dijual oleh orang Cina kerana India dan Melayu juga menaikkan harga.

"Mereka tidak menurunkan harga," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Tun Dr Mahathir berkata, punca kepada masalah berkenaan perlu dikenal pasti bagi menyelesaikan isu tersebut sebaik mungkin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Asas Tani Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa menggesa pengguna Melayu untuk memboikot perniagaan Cina yang sengaja menjual dengan harga yang tinggi.

Para peniaga berbangsa Cina adalah sinonim dengan pihak yang dikatakan menguasai harga pasaran barangan keperluan di mana mereka merupakan pembekal dan pemborong utama yang memainkan peranan sebagai "orang tengah". -Kedahnews.com