Kumpulan Caliph Buskers menyangkal dakwaan kononnya mereka mula
bersikap sombong apabila memilih projek ditawarkan sejak muncul di
pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) bersama Mojo.
Vokalis utama kumpulan itu, Khairul Azmi Saat atau Azmi, 28, berkata,
mereka masih sebuah kumpulan muzik jalanan seperti mana sebelum ini
malah tetap menerima jemputan mengadakan persembahan di majlis
perkahwinan.
“Kami masih seperti dahulu. Tiada apa yang berubah apatah lagi untuk bersikap memilih terhadap jemputan yang dibuat kepada kami.
“Selain persembahan jalanan dan jemputan beberapa acara hiburan kami
masih menerima undangan persembahan di majlis perkahwinan dan tiada
sebab mengapa kami perlu menolak,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Azmi berkata, dia berharap gosip berkenaan tidak
membuatkan pihak yang ingin mengundang mereka mengadakan persembahan
berasa takut kerana mereka tidak bersikap memilih.
“Kami adalah kumpulan buskers dan mencari kekayaan bukan tujuan utama
kami. Gosip sebelum ini diharap tidak akan membuatkan ada pihak
berfikir dua kali untuk menjemput kami.
“Apa yang penting kami dapat menghiburkan masyarakat dengan muzik dan akan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, Azmi berkata, dia tidak terkilan apabila ada
cakap-cakap sedemikian terhadap Caliph Buskers kerana ia tidak pernah
mematahkan semangat mereka untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang
muzik.
Malah kata Azmi, sokongan yang diterima daripada peminat sudah cukup
untuk mematahkan kata-kata negatif tersebut dan sentiasa mengenang jasa
mereka yang banyak membantu sehingga ke tahap ini.
“Cerita berkenaan tidak melemahkan kami dan ia hanya perkara kecil.
Pada yang mengenali kami mereka tahu itu bukan sikap Caliph Buskers.
“Kami bersyukur kerana ada penyokong dan peminat yang sentiasa
mendoakan kebaikkan untuk kami dan itu membuatkan kami terus bersemangat
untuk terus menghiburkan masyarakat,” jelasnya. – mStar