KUALA LUMPUR – Pengguna-pengguna lebuh raya bakal menikmati diskaun
dan rebat tol antara 5 hingga 37.5 peratus di 18 lebuh raya sempena
perayaan Tahun Baharu Cina.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dalam kenyataan di sini, berkata
semua lebuh raya berkenaan bersetuju menawarkan insentif itu sebagai
program tanggungjawab sosial korporat dan penghargaan kepada pengguna.
Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan
Tengah (ELITE) menawarkan rebat sebanyak 30 peratus bagi perjalanan
melebihi 100 kilometer kepada pengguna yang membayar tol secara
elektronik (ETC) pada 16 dan 23 Februari.
Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pula menawarkan diskaun kadar rata
sebanyak 60 sen untuk kenderaan semua kelas tunai dan ETC pada 19
Februari manakala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT)
menawarkan 20 sen untuk semua kelas tunai dan ETC pada hari sama.
Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor
Guthrie (GUTHRIE) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) pula
menawarkan diskaun 20 peratus untuk ETC Kelas 1 dari 6 pagi 19 Februari
hingga 6 pagi 20 Februari.
Lebuhraya SMART pula menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi
kelas 1 dan 4 sahaja pada 19 Feb manakala Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
menawarkan 10 peratus untuk tunai dan ETC Kelas 1 sahaja.
Menurut LLM, Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB)
menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi semua kelas dari
11 malam 18 Februari hingga 8 pagi 19 Februari manakala Lebuhraya Cheras
Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) menawarkan diskaun
10 peratus untuk tunai dan ETC pada 19 Februari bagi semua kelas.
Lebuhraya Senai Desaru (SDE) dan Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS)
menawarkan diskaun 10 peratus untuk tunai dan ETC bagi kelas 1 sahaja.
Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pula menawarkan diskaun 5
peratus untuk ETC kelas 1 sahaja dari 6 pagi 19 Februari hingga 5.59
pagi 20 Februari, menurutnya.
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata
tawaran diskaun itu diberikan kepada pengguna kenderaan kelas 1 bagi
perjalanan jauh melebihi 100 kilometer dan membayar tol secara
elektronik (menerusi kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada hari
bukan puncak.
Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata rebat tersebut
diberikan bagi menggalakkan pengguna bergerak pada hari berkenaan untuk
mengurangkan kesesakan pada hari puncak.
“Ia juga merupakan inisiatif PLUS menghargai kerjasama orang ramai
yang menggunakan sistem pembayaran tol secara elektronik,” katanya.
Beliau berkata, PLUS turut memberikan rebat tol 20 peratus kepada
semua pengguna kelas 1 di ketiga-tiga lebuh raya berkenaan yang mematuhi
panduan perjalanan, menggunakan sistem elektronik serta perjalanan
melebihi 100 km pada hari puncak iaitu 17, 18, 21 dan 22 Februari ini.
“PLUS menjangkakan Lebuhraya Utara-Selatan mengalami peningkatan
trafik sebanyak 15 peratus kepada 1.5 juta kenderaan sehari pada hari
puncak itu,” katanya.
Justeru itu, PLUS meminta pengguna lebuh raya yang menuju ke Perlis,
Kedah dan Johor selatan supaya memulakan perjalanan pada 6 hingga 8 pagi
pada 13 Februari manakala mereka yang menuju ke Pulau Pinang dan Johor
utara diminta memulakan perjalanan pada 8 hingga 12 tengah hari pada
hari sama.
Noorizah juga meminta mereka yang ke Perak utara dan tengah serta
Melaka supaya memulakan perjalanan pada 12 tengah hari hingga 6 petang
manakala mereka yang ke Perak selatan dan Negeri Sembilan dinasihatkan
bergerak selepas 6 petang pada 13 Februari.
Pada 22 Februari, mereka yang kembali ke Kuala Lumpur dari utara dan
selatan dinasihatkan bergerak mengikut tempoh masa yang dicadangkan
PLUS.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pematuhan tempoh masa
itu dapat memastikan perjalanan yang selesa pada musim-musim perayaan. –
BERNAMA