Cina Sokong Kerajaan Masa Mata Anwar Lebam - Tun M


MANTAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika berlakunya insiden ‘mata lebam’ Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 masyarakat Cina merupakan penyokong padu kerajaan dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Buktinya, beliau menjelaskan bagaimana BN berjaya menawan 2/3 kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum tahun yang sama.

mata-lebam

Ujar beliau, masyarakat Cina pada ketika itu menyatakan sokongan melalui undi setelah beliau berjaya memulihkan semula ekonomi Malaysia yang teruk ketika krisis ekonomi 1997/1998.

Manakala, masyarakat Melayu pula menolak BN kerana keputusan memenjarakan Anwar.

Memetik kenyataan beliau menerusi portal The Malaysian Insider, “Saya hilang 300,000 undi Melayu dalam pilihan raya 1999 disebabkan insiden mata lebam, tetapi Cina membantu saya mendapatkan majoriti 2/3 parlimen.”

Ujar pemimpin tersohor itu lagi, pada ketika itu, kaum Melayu menganggapnya sebagai pemimpin diktator kerana memenjarakan Anwar, namun tidak bagi komuniti Cina yang berjaya mengelak dari diisytiharkan bankrap.

“Pada masa itu berlaku insiden mata lebam dan ramai orang bersimpati,” ujar beliau merujuk bekas timbalannya, Anwar Ibrahim.

“Ada seorang perempuan Melayu, saya teringat, penyokong kuat UMNO, dia kata tidak akan sokong UMNO lagi,” ujarnya yang turut berkata, tanpa sokongan masyarakat Cina, beliau tidak mampu untuk menguasai Parlimen ketika itu.