Civic Type R Gen-4 Cecah 270km/h, Pilih Saman Atau "Batu Dua"?


Sekali imbas nama Honda Civic Type R sudah pasti ramai brader-brader JDM membayangkan sebuah jentera yang berjiwa kelajuan.

Inilah mesej yang cuba disampaikan oleh Honda yang kini mengeluarkan Civic Type R generasi keempat dan didatangkan dengan sistem turbo buat kali pertamanya.

Honda-Civic-Type-R-1-640x427

Civic Type R versi produksi bakal membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show pada bulan Mac 2015 ini.

Kali ini Honda telah mengeluarkan beberapa gambar teaser yang menunjukkan sedikit rupa bentuk luaran dan dalaman versi produksi kereta tersebut.

Kluster instrumen yang ditunjukkan di atas mengesahkan wujudnya butang +R yang memberikan kereta tersebut denyutan nadi sebuah kereta berkuasa tinggi.

Honda-Civic-Type-R-2-640x427

Buat pertama kalinya pengeluaran Honda Civic Type R mempunyai garis merah di bawah 8,000 RPM memandangkan ianya bakal datang dengan enjin 2.0-liter turbo VTEC.

Masih lagi tiada kata putus tentang berapa output kuasa kuda kereta tersebut, tetapi Honda telah mengesahkan versi produksi ini bakal hadir di antara 280HP sehingga 320HP.

Walau bagaimanapun, dengan pengeluaran gambar teaser ini, Honda telah mengesahkan yang kereta ini mampu mencapai kelajuan sehingga 270km/j!

Dengan peningkatan kuasa kuda pada kereta tersebut, model Civic Type R ini hadir dengan reka bentuk yang lebih aerodinamik bagi memberikan daya tujah (downforce) yang lebih baik bagi mengekalkan keseimbangan kereta tersebut di atas jalan raya.

Walau bagaimanapun, kadar had laju di jalan-jalan persekutuan hanyalah di kadar 30 km/h hingga 90 km/h, manakala di lebuhraya pula kadar kelajuan maksimum dihadkan pada kelajuan 110 km/h sahaja.

Jadi, sekiranya pemilik  Civic Type R generasi ke-4 ini ingin memecut selaju 270km/h, bolehlah berbuat demikian di litar lumba Sepang atau mana-mana litar yang bersesuaian.

Jika berdegil juga dan mahu memecut laju di jalanraya biasa atau di lebuhraya, maka janganlah pula salahkan pihak berkuasa sekiranya di saman.

Perlu juga diberi ingatan bahawa memandu terlalu laju turut mampu membawa kita di "batu dua" dan meninggalkan Civic Type R generasi ke-4 yang remuk berkecai kepada waris atau keluarga masing-masing. Harap maklum. - Kedahnews.com