Cuaca Panas Terlampau: Pengarah JPN Kedah Arah Larangan Aktiviti Terbuka, Tapi Ada Daerah Tetap Anjur MSSD?

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datin Azuyah Hassan
Baru-baru ini, laman Fanpage di Facebook milik Kedahnews.com sempat menyebarkan arahan dari Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datin Azuyah Hassan mengenai larangan melakukan aktiviti luar bilik darjah dan kawasan terbuka. Klik di sini.

Larangan itu dibuat adalah ekoran cuaca panas terlampau atau dikenali sebagai fenomena Ekuinoks dan difahamkan bahawa arahan berkenaan adalah berkuatkuasa serta merta pada tarikh pengumuman itu dibuat (24 Februari 2015).

Namun malangnya, difahamkan oleh sumber kami bahawa sehari selepas arahan dari Pengarah JPN Kedah itu dibuat, dianjurkan pula majlis perasmian Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) di salah sebuah daerah di negeri Kedah.

Juga dimaklumkan bahawa serentak dengan majlis perasmian MSSD itu, turut dianjurkan beberapa acara sukan yang membabitkan para pelajar sekolah di daerah berkenaan di padang sekolah yang menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.
Arahan jelas dari Pengarah, Datin Azuyah Hassan di laman rasmi JPN Kedah pada 24 Februari lalu
Sebagaimana maklum, seluruh negara kini sedang menghadapi fenomena Ekuinoks yang agak ekstrim pada tahun ini sehingga menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi amaran supaya keadaan cuaca panas melampau itu tidak dipandang remeh, semalam.

Malah beberapa pakar cuaca turut memberikan pandangan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berhati-hati dalam menghadapi fenomena berkenaan bagi mengelak terjejas kesihatan dan sebagainya.

Justeru itu, Kedahnews.com agak pelik dengan tindakan pihak terbabit yang menganjurkan kejohanan MSSD di daerah terbabit.

Pengarah JPN Kedah telah memberi arahan yang jelas mengenai larangan tersebut, namun kejohanan sukan yang melibatkan ratusan pelajar dari sekolah-sekolah di daerah berkenaan tetap dianjurkan seolah tidak mempedulikan arahan larangan berkenaan.

Selain itu, terdedahnya para pelajar yang menyertai kejohanan tersebut turut dibimbangi akan menjejaskan kesihatan dan berkemungkinan akan memberi beberapa kesan lain kepada mereka.

Soalnya, apakah pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di daerah terbabit tidak peduli pada arahan dari Pengarah JPN Kedah dan tidak memikirkan tentang kesan melakukan aktiviti luar bilik darjah yang dikhuatiri memberi risiko kesihatan kepada para pelajar dalam keadaan cuaca panas melampau?

Mohon pencerahan dari pihak berkenaan untuk isu terbabit. -Kedahnews.com