TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini agar semua program anjuran istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat al-Quran berserta maksudnya, amat dialu-alukan dan bertepatan dengan usaha penghayatan dan membudayakan al-Quran dalam semua bidang kehidupan.
Al-Quran merupakan mukjizat paling agung. Ia menjadi panduan utama umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Al-Quran menjadi petunjuk terunggul yang harus dijadikan panduan menghidupkan akal dan hati manusia. Tidak akan terpesong sesuatu ummah itu selagi berpegang kepada kitab suci ini bersama sunah Rasulullah SAW.
Walaupun begitu, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan seharian dan ramai juga yang tidak memahami apa yang dibaca.
Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dihafal sahaja.
Khazanah ilmu yang terkandung di dalam kandungan al-Quran wajib difahami, dikaji, diselami dan diterokai. Bertepatan dengan fakta-fakta yang difahami dalam al-Quran, maka akan dapat dilihat wajah Islam yang damai dan menjadi rahmat kepada semua.
Al-Quran mengungkapkan Islam sebagai agama perdamaian, kesejahteraan dan mengamalkan dasar hormat menghormati antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama.
Toleransi dan bukan kekerasan adalah menjadi amalan hidup yang sangat digalakkan oleh Islam. Rasulullah SAW ialah pembawa rahmat kepada alam seluruhnya sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbia’ ayat 107:
“Dan tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kepada alam seluruhnya.”
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Sesungguhnya Allah menjadikan salam sebagai penghormatan bagi umat kita dan jaminan keamanan untuk penduduk dalam kalangan ahli zimmah kita.”
Al-Quran memberi gambaran Islam bukanlah sebagai agama yang keras, bengis dan dahagakan darah manusia, sebagaimana yang dianggap oleh kebanyakan orang Barat kerana bukanlah menjadi matlamat Islam untuk memaksa orang bukan Islam supaya semuanya memeluk agama ini.
Rasulullah SAW menyedari hakikat ini berpandukan firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 118:
“Kalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.”
Firman-Nya lagi dalam Surah Yusof ayat 103:
“Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).”
Surah Yunus, ayat 99:
“Dan kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang berada di bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya.”
Surah al-Qasas, ayat 56:
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang yang menerima petunjuk.”
Oleh itu terbentuklah satu peraturan yang tetap dalam al-Quran iaitu kebebasan beragama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, 256:
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”
Di samping itu al-Quran menggariskan kaedah menyampaikan dakwah dengan hikmah dan hujah yang jelas di samping memberi nasihat dengan lembut dan bersopan serta berdiskusi dengan cara yang baik. Firman-Nya dalam Surah al-Nahl, ayat 125:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Al-Quran tidak hanya menggariskan panduan hidup berdamai dengan orang-orang bukan Islam, malahan umat Islam dituntut supaya memberi pertolongan dan perlindungan kepada penganut agama wathani (penyembah berhala) iaitu agama yang sangat jauh perbezaannya dengan agama Islam.
Firman Allah dalam Surah al-Taubah, ayat 6:
“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya.”
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan dakwaan seorang peguam dan pengarah eksekutif sebuah kumpulan hak asasi manusia bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini pada setiap Jumaat.
Fenomena itu adalah sesuatu yang menakutkan kerana umat Islam kini diserang dari segenap penjuru, bukan sahaja oleh musuh Islam malah oleh Muslim berfahaman liberal yang tidak segan silu mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ sehingga menyebabkan umat Islam yang kurang asas agama terpengaruh.
Al-Quran ada menjelaskan bahawa para Rasul tidak pernah sunyi daripada tentangan dan serangan musuh. Kitab-kitab suci termasuk al-Quran diingkari serta diburukkan dengan pelbagai jenama. Demikian juga utusan Allah ini difitnah dengan pelbagai tuduhan seperti tukang sihir, tukang tilik, orang gila, pemecah masyarakat dan sebagainya.
Maka tidak hairanlah apa yang berlaku sekarang ini apabila kesucian Islam difitnah oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 120:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”
Perdamaian amat sinonim dengan Islam. Semua ajaran, perintah yang ada dalam ajaran Islam membawa kepada terciptanya perdamaian dan keadilan di dunia.
Kedatangan Islam di tengah-tengah bangsa Arab yang pada masa itu jelas mempunyai misi perdamaian. Bangsanya yang terpecah mengikut suku-suku dan suka berperang, menjadi sebuah komuniti Islam yang ideal sehingga semua manusia disamakan kedudukannya di atas dasar iman dan takwa.
Membaca al-Quran itu satu ibadah.
Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisis, mengkaji, menyelidik dan mencari rahsia ilmu pengetahuan seterusnya menghasilkan idea-idea yang akhirnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.
Percayalah, al-Quran mampu mencetuskan semangat dan harapan baharu bersama nilai-nilai wasatiyyah yang digagaskan dalam Islam.
*ABDULLAH MD. ZIN, PENULIS ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri/Utusan