Dewan Pemuda PAS Anggap Tukang Pacak Bendera Lebih Mulia Daripada Pemimpin PAS


Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Suhaizan Kayat dilapor seolah menyindir segelintir pihak dalam parti itu yang beranggapan diri mereka lebih mulia daripada orang lain.

Pemimpin sayap Pemuda PAS itu membuat sindiran tersebut menegaskan bahawa seorang tukang pacak bendera PAS adalah kadang-kala jauh lebih mulia daripada beberapa pemimpin parti tersebut.

“Jangan ada dalam kalangan kita merasa lebih mulia dari orang lain. Tukang pacak bendera lebih mulia dari seorang pemimpin jika ada keikhlasan,” sindirnya dalam satu kenyataan lewat semalam.

Beberapa intrepretasi telah dibuat berdasarkan kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada konflik dalaman yang sedang melanda parti PAS waktu ini melibatkan perdebatan isu di antara golongan ulama dan beberapa pemimpin dalam parti itu yang dilihat sebagai "duri dalam daging".

Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kepimpinan tertinggi PAS mesti terdiri daripada golongan ulama kerana dasar dan sumber tertinggi rujukan parti itu adalah al-quran, hadis, ijmak dan qisas.

Justeru, Tuan Ibrahim meminta ahli PAS memperteguhkan gagasan kepimpinan ulama dalam parti kerana golongan itu yang boleh meletakkan sumber berkenaan dalam memperkukuhkan hujah dan pandangan.

Sementara itu, Dewan Ulama PAS dalam satu kenyataan tanpa berselindung menamakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan seorang lagi pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli sebagai dalang yang cuba menggulingkan Prsiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, seorang wakil Dewan Ulama PAS Kedah mendesak pucuk pimpinan PAS supaya segera memecat kedua pemimpin berkenaan kerana dibimbangi akan membawa barah yang lebih parah di dalam parti berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum itu telah menafikan wujud pihak yang cuba menggulingkan Abdul Hadi dari jawatan tertinggi PAS itu. -Kedahnews.com