Tegar, penyanyi cilik Indonesia |
Alor Setar - Suatu ketika dahulu, penyanyi cilik Indonesia ini pernah mendapat
perhatian ramai dari peminat di Malaysua setelah kisah hidupnya sebagai pengemis jalanan yang
diceritakan begitu menyentuh perasaan.
Lagunya, "Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang" pula seolah mencetuskan fenomena dan
menjadi siulan kebanyakan anak muda di Malaysia kerana muzik dan
liriknya yang jujur serta mengisahkan latar belakang kehidupannya sebelum
terkenal.
“Aku yang dulu bukanlah yang sekarang, Dulu ditendang sekarang ku disayang, dulu dulu dulu kumenderita, sekarang aku bahagia," antara liriknya.
Sayangnya, gara-gara seorang individu tidak bertanggungjawab dan
tergamak mengeksploitasi bakat kanak-kanak tersebut, impian Tegar untuk merubah
nasib hidup dan keluarganya terbantut tidak kesampaian.
Memetik laporan media dari negara itu baru-baru ini, penyanyi berusia 13 tahun itu dikhabarkan terpaksa kembali menjalani kehidupan lampaunya sebagai pengemis jalanan
setelah kehilangan punca pendapatan akibat ditipu pengurus sendiri.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh bekas pegawai perhubungan
awam syarikat rakaman naungannya.
Malah menurut individu itu lagi,
ibu Tegar turut kembali menjalankan aktiviti tersebut bagi menampung
kehidupan seharian keluarga mereka.
“Kasihan ibunya kini kembali mengemis kerana mereka tiada wang. Tidak
sangka ‘A’ tergamak aniaya Tegar. Dia kini berada di kampung kerana
tidak bekerja lagi.
“Saya simpati dengan Tegar. Passport Tegar telah dibawa lari bekas
pengurusnya ‘A’. Disebabkan itu, Tegar tidak boleh ke mana-mana. dan
terpaksa menolak tawaran persembahan di Malaysia kerana tiada passport," kata sumber berkenaan.
Tambah sumber tersebut lagi, pengurus itu yang dipercayai berasal dari Singapura, kini sedang berada di Kuala Lumpur.
“Saya dapat tahu ‘A’ di sini. Dia biarkan Tegar terkontang-kanting
selepas dia dah tipu budak tu. Banyak duit Tegar dihabiskan disebabkan
dia.
“Ibu Tegar pernah beritahu kepada salah seorang ahli kelab peminat
Tegar di Malaysia yang anaknya tidk mempunyai sebarang simpanan sejak
bersama ‘A’.”
Lagi menyedihkan, Tegar turut dikatakan telah‘dikuarantin’ selama sebulan oleh
pengurusnya itu dan tidak dibenarkan menghubungi keluarganya di kampung
sebelum ini.
Sekiranya benar dakwaan individu tersebut, Kedahnews.com memohon supaya si polan yang mengambil hak Tegar agar dapat memulangkannya
haknya semula.
Benar rezeki itu datangnya dari Allah SWT, namun kezaliman yang dilakukan terhadap kanak-kanak seperti Tegar sewajarnya dihentikan segera. Sesungguhnya Allah murka pada mereka-mereka yang zalim.
Kami juga mendoakan semoga Tegar berjaya dalam merubah nasib dan kehidupan keluarganya selepas ini. -Kedahnews.com