Alor Setar - Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memuji
langkah dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang
berhenti berucap dan mengajak hadirin membaca Al-Fatihah sebaik
mengetahui berita kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurut Dr Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr. Maza itu, Najib melakukan satu tindakan tepat yang menggambarkan beliau mempunyai nilai-nilai budi yang baik.
“Saya ingin memuji sikap hormat-menghormati sekalipun berbeza
pandangan politik yang ditunjukkan Najib dalam rakaman (berita) ini
ketika menerima berita kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Ia gambaran kesantunan dan nilai budi baik yang ada pada diri
seseorang individu,” tulis Dr Mohd Asri menerusi status Facebook yang
dimuatnaik pada Sabtu.
Najib ketika berucap dalam satu majlis di sebuah hotel di ibu negara
sebelum ini, menghentikan ucapan sebaik sahaja dimaklumkan
tentang berita kematian Allahyarham Nik Abdul Aziz oleh Menteri Wilayah
Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau kemudiannya memaklumkan kepada hadirin seterusnya mengajak sama-sama membaca surah Al-Fatihah.
Bekas Menteri Besar Kelantan Nik Aziz meninggal dunia 12 Februari lalu
jam 9.40 malam di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan
kerana sakit kanser pada usia 84 tahun. -Kedahnews.com