Dr MAZA Dilantik Mufti Perlis Sekali Lagi, Mula Tugas Hari Ini?

Tokoh Islam kontroversi dan bekas Mutfi Negeri Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan akan kembali dilantik ke jawatan berkenaan sekali lagi hari ini selepas enam tahun melepaskan jawatan tersebut.

Dr Mohd Asri dikatakan akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mufti Perlis yang menggantikan jawatannya sebelum itu, Dr Juanda Jaya, yang mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada hujung tahun lalu.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Mufti Perlis dari tahun 2006 hingga 2008.

Sekiranya pelantikan tersebut benar, Dr Mohd Asri akan menjadi satu-satunya mufti yang dilantik dua kali ke jawatan yang sama.

Laman web The Star memetik sumber dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata pelantikannya telah dibuat secara rasmi semalam dan beliau akan mula bertugas pada hari ini

Difahamkan juga bahawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail turut telah memperkenan pelantikan beliau.

Dr Asri atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA di laman media sosial dikenali sebagai seorang yang lantang dalam memberi pandangan atau mempamerkan reaksi beliau kepada beberapa isu sehingga mencetus kontroversi di kalangan umat Islam.

Pada tahun 2006, Dr Mohd Asri dilantik sebagai Mufti Perlis ketika sedang berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Mufti termuda untuk memegang jawatan sebagai mufti.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda, University Of Jordan dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PHD) dari University Of Wales.

Dr Mohd Asri dikenali sebagai pakar dalam ilmu Hadith dan Fiqh, selain agak mahir dalam amalan keempat-empat mazhad sunnah wal jamaah. -Kedahnews.com