Dr Maza Nafi Sokong Fahaman Wahabi

Mufti Perlis yang baru dilantik ke jawatan tersebut buat kali kedua, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menegaskan kepada umum bahawa beliau bukanlah merupakan penyokong fahaman Wahabi.

Malah dalam kenyataannya yang dipetik dari media arus perdana itu, Mohd. Asri menjelaskan bahawa pihaknya juga memberi jaminan fahaman tersebut sama sekali tidak akan bertapak di negeri Perlis.

Katanya lagi, apa yang dilakukan pihak berkuasa agama Islam di ne­geri itu adalah menggalakkan percambahan pengetahuan dan pemikiran ahli agama selagi tidak menjurus kepada kerosakan dan ketegangan di kalangan umat Islam.

“Mengapakah kita (orang Islam) takut kepada pelbagai pandangan agama. Bukankah ia baik kerana menunjukkan manusia itu berfikir.

“Sebagai contoh ada sesetengah pandangan yang berbeza pendapat dengan membenarkan pengguna­an vaksin manakala sebahagian lagi menolak. Sudah tentu pandangan yang membenarkan penggunaannya boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mufti Perlis itu seterusnya menegaskan bahawa perbezaan pendapat dan pandangan dalam Islam perlu disuburkan khususnya oleh ahli akademik kerana ia boleh mengembangkan agama suci itu.

Mengulas mengenai perbezaan sesetengah amalan oleh orang Islam di negeri itu seperti tidak mengadakan majlis tahlil serta tidak membaca doa Qunut semasa solat Subuh, Mohd. Asri menjelaskan bahawa amalan itu turut dilakukan oleh orang Arab di Masjidil Haram.

“Tidak pula kita bising tentang perkara itu apabila pergi ke Mekah. Mereka juga tidak baca doa Qunut,” ujarnya.

Selain itu, Mohd. Asri yang turut dikenali dengan panggilan "Dr. Maza" itu turut menjelaskan tidak pernah berkempen atau cenderung kepada mana-mana parti politik.

Mohd. Asri yang memiliki ijazah kedoktoran (Ph.D) da­lam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2003 dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 sehingga November 2008 sebelum digantikan oleh Datuk Dr. Juanda Jaya.

Beliau juga merupakan seorang penceramah yang sering diselubungi kontroversi antaranya ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa tauliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang, Selangor.

Selain itu, beberapa pandangannya bagi sesetengah isu semasa turut mengundang kontroversi dan disanggah beberapa pihak termasuk mufti-mufti negeri dan tokoh agama lain.


Beliau juga telah menulis puluhan buku dan ratusan rencana serta membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam negara dan peringkat antarabangsa. -Kedahnews.com