Dr Maza, Raja Muda Perlis Kayuh "Gerek" Serah Zakat Pada Asnaf


Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dilantik semula menjadi Mufti Perlis memulakan tugas-tugas awalnya dengan berkayuh basikal mencari golongan asnaf iaitu mereka yang layak menerima zakat.

Difahamkan bahawa mungkin tindakan itu dilakukan ekoran beliau merupakan tokoh ilmuwan agama yang dikatakan lantang mengkritik isu pengagihan dan bayaran zakat sebelum ini.

Laman sosial Facebook milik Dr Mohd Asri menunjukkan gambar beliau bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin, untuk bertemu rakyat negeri Perlis dalam program pemberian zakat.

Dalam kenyataan ringkas di Facebooknya, Mohd Asri menyifatkan acara yang akan dibuat secara mingguan itu berbaloi kerana dapat sampai dan melihat sendiri tempat tinggal golongan asnaf dan kehidupan mereka.

“(Saya berharap) agar pihak pengurusan (zakat) mencari asnaf, bukan asnaf tercari cari di mana hak zakat mereka,” katanya memetik laporan sebuah portal mengenai aktiviti Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza itu.

Program berkenaan sebelum itu merupakan aktiviti mingguan Syed Faizuddin, selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan kadang kala dibuat dua kali seminggu, kata Mufti Perlis itu.

Pada Ahad lalu, Dr Maza diumumkan dilantik kembali ke jawatan sebagai mufti negeri itu menggantikan Dr Juanda Jaya.

Kali terakhir Dr Maza berkhidmat sebagai Mufti ialah pada 2006. -Kedahnews.com