Eizlan Yusof, Isteri Sah Cerai Talak Satu

PELAKON yang juga ahli perniagaan, Datuk Eizlan Yusof disahkan bercerai talak satu dengan isterinya, Datin Vie Santie Harun oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

Keputusan tersebut diputuskan hakim syarie, Shaiful Azli Jamaluddin selepas mendapati lafaz diungkapkan Eizlan, 44, terhadap Vie, 29, pada September tahun lalu sah mengikut syarak.

Menerusi prosiding sama, mahkamah turut merekodkan perjanjian persetujuan antara kedua-dua mereka melibatkan nafkah edah yang diserahkan kepada budi bicara Eizlan dan tuntutan mutaah yang tidak akan dibuat Vie Santie.

Selain itu, Eizlan dan Vie juga bersetuju bahawa hak penjagaan ketiga-tiga cahaya mata hasil perkahwinan mereka diserahkan kepada Vie, namun Eizlan diberi hak untuk bersama dan bermalam dengan mereka pada bila-bila masa yang munasabah.

Pada 18 November tahun lalu, Vie menfailkan permohonan pengesahan cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Uundang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Mereka mendirikan rumahtangga pada Julai 2007 dan dikurniakan tiga anak; Vie Zaara, Zareef Yusuf dan Vie Zaalia. -Kedahnews.com