EKSKLUSIF: Badrul Amin Sampaikan Khutbah Di Masjid Di Kedah Cetus Pertikaian Jemaah

Banner program Dr Badrul Amin di Masjid Sultanah Bahiyah
ALOR SETAR - Tindakan seorang pemimpin kanan PKR, Dr Badrul Amin Bahron menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid terkenal di Alor Setar telah menimbulkan pertikaian dan keraguan di kalangan sebahagian jemaah di kawasan tersebut.

Salah seorang jemaah yang hadir menyuarakan kebimbangan dengan penglibatan "Ustaz PKR" itu akan mencetus pepecahan di kalangan anak qariah di masjid Sultanah Bahiyah memandangkan masjid itu sebelum ini dikatakan bebas dari sebarang pengaruh politik.

"Masjid ni takdak politik-politik.. yang mai sini semua kerana Islam, nak beribadah kat Allah, politik semua tinggal kat luar pagar masjid. Tapi kali ni orang politik pulak yang mai bagi khutbah dan buat program kat sini.

"Memang khutbah tadi tu dia macam betul, tak selitkan politik...tapi program dia malam tadi tu memang ada dia selitkan unsur politik," katanya yang enggan disiarkan nama.

Selain itu, jemaah tersebut turut tertanya-tanya tentang kewajaran pihak pengurusan masjid berkenaan yang dikatakan tidak sensitif kerana membenarkan seorang pemimpin yang pernah mencetus kontroversi ditahan atas dakwaan disyaki berkhalwat sekitar tahun 2012 sebelum ini.

Jemaah itu juga percaya bahawa Dr Badrul Amin menyampaikan khutbah tanpa merujuk kepada teks yang kebiasaannya disediakan oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Menurut sumber jemaah lain pula, dikatakan bahawa terdapat salah seorang Ahli Jawatankuasa Masjid yang pernah menyampaikan khutbah berbaur politik di masjid berkenaan tidak lama dahulu.

"Dulu ada seorang tu jadi Khatib kat masjid ni, kami tak berapa kenal dia. Dengar kata dia tu anak seorang Ustaz PAS. Dia bagi khutbah politik masa Jumaat. Habih kecoh bila ada jemaah yang ada masa tu.

"Ada jemaah yang bangun marah, bertempik (tengking) khatib tu direct.. ni khutbah Jumaat ke khutbah politik? Apa ni..? Tapi khabarnya lepas tu Jabatan Agama dah panggil khatib tu mintak penjelasan, tapi taktau la apa tindakan pada khatib tu," jelasnya.

Kata jemaah berkenaan, itulah insiden terakhir yang membabit "politik dibawa masuk" ke masjid berkenaan tidak lama dulu sebelum Dr Badrul Amin mencetus semula keadaan tidak senang hati di kalangan anak qariah.

Ditanya mengapa tidak ada pihak yang bingkas mempertikai Dr Badrul Amin secara berdepan, jemaah itu menjelaskan mungkin tindakan itu "malas" dibuat bagi menjaga keharmonian di kalangan jemaah lain yang mungkin menyokong PKR.

"Kalau ada yang tegur ke, marah ke... nanti ada yang masam muka.. ada yang tak mau bercakap sampai seminggu dua.. payah!

"Kami takdak parti. Kami bukan UMNO, bukan PKR, bukan PAS. Kami semua disatukan oleh Islam kat sini. Jadi tolong tinggalkan politik kat luar pagar. Cukuplah umat Islam berpecah kat luar, tapi dalam masjid ni kita perlu bersatu kerana Islam," tegas jemaah itu lagi.

Dr Badrul Amin pada Khamis, 26 Februari telah terlibat mengadakan program "Muhasabah Diri/Qiyamullail" di masjid berkenaan dengan slot ceramah khas selepas solat Isyak dan mengimamkan majlis qiyamullail di masjid itu.

Seterus pada Jumaat, beliau telah menyampaikan khutbah di masjid berkenaan.

Beliau merupakan pemimpin kanan PKR di peringkat pusat dan juga merupakan pemimpin utama parti itu di Sabah sebelum "direhatkan" ekoran kontroversi ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sebuah hotel kerana disyaki berkhalwat dengan seorang isteri orang. -Kedahnews.com