PENYANYI yang bakatnya dicungkil menerusi laman perkongsian video
Youtube, Elizabeth Tan menyatakan hasrat mahu berduet dengan penyanyi
bertaraf antarabangsa, Yuna.
Selain itu, Elizabeth turut berminat untuk melakukan kolaborasi dengan Amir Jahari yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9).
Elizabeth, 22, mengidolakan Yuna yang dilihatnya sebagai contoh untuk
berjaya sehingga mampu mencipta nama sampai ke negara Uncle Sam.
“Saya sangat teringin nak berduet dengan Yuna dan juga Amir Jahari,
kerana kedua-duanya berbakat besar dan saya sentiasa kagum dengan bakat
mereka,” katanya ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk
penjagaan wajah Magic Red di Cyberjaya, pada Selasa.
Satu fakta menarik mengenai Elizabeth, walaupun berketurunan Cina
namun dia mengakui langsung tidak boleh bertutur dan memahami bahasa
Mandarin.
“Saya tiada darah kacukan dan memang 100 peratus Cina, namun tidak
memahami dan tidak boleh bertutur dalam bahasa Cina. Ini kerana di rumah
kami berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
“Untuk menerbitkan album bahasa Cina, mungkin saya perlu menghadiri
kelas Mandarin terlebih dahulu untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya
yang kini semakin popular dengan lagu Knock Knock.
Selepas Knock Knock, single terbaharu gadis manis kelahiran Kuala Lumpur ini bakal dilancarkan pada Mei hadapan.
Elizabeth merupakan artis di bawah naungan syarikat milik Faizal
Tahir, Faithful Music bersama-sama penyanyi dari Brunei, Aziz Harun dan
juga Hani Soraya yang popular dengan lagu Hujung Dunia.