Fenomena Ekuinoks: JPN Kedah Arah Larangan Aktiviti Luar Di Semua Sekolah

Larangan aktiviti luar bilik darjah, kawasan terbuka
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memutuskan untuk melarang sebarang aktiviti ko-kurikulum sama ada di luar bilik darjah atau di kawasan terbuka bagi semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu.

Menurut laman web rasmi jabatan berkenaan, arahan larangan tersebut dikeluarkan kepada guru-guru besar dan pengetua sekolah ekoran keadaan cuaca panas di musim kemarau atau dikenali sebagai fenomena ekuinoks.

Menurut arahan itu lagi, larangan tersebut yang dikeluarkan semalam dikuat kuasakan serta merta dan akan berakhir pada tarikh yang akan diberitahu kelak.

Arahan larangan itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datin Azuyah Hassan.

Justeru itu, diharap agar semua pihak pengurusan sekolah mematuhi arahan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini akibat fenomena berkenaan. -Kedahnews.com