Gadis 14 Tahun Berpurdah Dipercayai Dibiayai Lelaki Di Kuala Lumpur Untuk Ke Syria

Gadis 14 tahun berpurdah berkenaan ditahan di KLIA, sebelum menaiki penerbangan ke Kaherah, Mesir.
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berpurdah yang ditahan kerana disyaki mahu menyertai militan IS di Syria dipercayai telah menerima pembiayaan dari seorang lelaki yang dikatakan berada di Kuala Lumpur.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal menjelaskan bahawa gadis itu yang berasal dari Muar, Johor menerima kira-kira RM2,000 daripada lelaki berkenaan.

Wang itu dikatakan sebagai bekalan untuk digunakan untuk menempuh perjalanan ke Syria.

“Dia terima RM2,000, tiket kapal terbang dan dalam perjalanan untuk meninggalkan negara ini dengan alasan melanjutkan pengajian di Mesir.

“Kami dalam proses untuk mengenal pasti pembiaya terbabit,” kata Ayob Khan, memetik laporan sebuah portal.

Beliau berkata, pihak Bukit Aman sedang menyiasat secara terperinci tentang lelaki berkenaan sama ada turut mempunyai maklumat mengenai agenda IS dan menyokong kumpulan pengganas yang disahkan para ulama sebagai menyeleweng dari agama Islam itu.

Juga sedang disiasat sama ada lelaki itu turut membiayai bakal militan lain dari Malaysia.

Pihak Polis juga sedang menyiasat sama ada gadis berumur 14 tahun itu sama ada turut menerima tajaan daripada sumber lain.

“Gadis itu terpengaruh untuk menyertai IS November lalu selepas berhubung dengan anggota kumpulan itu menerusi Facebook.

“Kami juga cuba untuk mengenal pasti rakyat Malaysia yang bakal dikahwininya di Mesir. Kami mahu memastikan kesahihan perkara ini atau ia hanya untuk menutup cerita sebenar pemergiannya ke sana,” jelasnya.

Sehingga kini, difahamkan bahawa gadis remaja itu sedang ditahan di sebuah Pusat Tahanan Juvana yang terletak di Jinjang, Selangor.

Ayob Khan berkata, seramai keseluruhan tujuh orang wanita Malaysia telah ke Syria dan tujuh berjaya ditahan sebelum berlepas ke negara itu.

Gadis belasan tahun itu ditahan pada 7.30 malam, Selasa sebelum menaiki pesawat ke Kaherah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Remaja itu dikatakan merancang untuk menikahi pelajar lelaki berusia 22 tahun di Kaherah sebelum kedua-duanya ke Istanbul dan meneruskan perjalanan ke Syria. -Kedahnews.com