Gagal Bayar Cukai Lama Tertunggak, MBAS Keluar 50 Notis Sita


ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah mengeluarkan 50 notis sitaan pada awal bulan ini kepada pemilik rumah dan premis perniagaan yang gagal membayar cukai pintu.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, waran sitaan juga akan dikeluarkan kepada pemilik rumah dan premis perniagaan yang mempunyai tunggakan cukai pintu melebihi RM1,000.
  
Walaupun begitu katanya, pemilik masih boleh berbincang dengan pihak MBAS untuk membuat bayaran secara ansuran sekiranya tidak berkemampuan untuk membuat pembayaran penuh.
  
"Sekiranya pemilik premis gagal membuat bayaran penuh, pemilik premis boleh membayar 25 peratus daripada tunggakan dan boleh membayar secara ansuran atau bulanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Menurut Mat Noh, MBAS juga akan menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pemilik untuk mengingatkan supaya membuat pembayaran.
  
Katanya, bayaran boleh dibuat secara dalam talian, di pejabat pos, bank dan mesin kiosk yang disediakan di pejabat MBAS dan kaunter bergerak yang terdapat di pasar raya Tesco Mergong, Taman Bersatu dan beberapa tempat lain. - Bernama