KUALA LUMPUR – Jika gaji pemain Liga Malaysia setanding dengan gaji Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi pasukan
negara tidak mencapai prestasi hebat, mungkin ada sesuatu tidak kena dengan sukan bola sepak tanah
air, dakwa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Kata Khairy Jamaluddin, situasi
itu hanya menyebabkan bola sepak Malaysia ibarat `syok sendiri’ kerana
memberi nilai terlalu tinggi terhadap liga tempatan yang gagal di
peringkat antarabangsa.
“Saya harap kita tidak hanya melihat kepada penonton yang semakin
bertambah atau nilai komersial semata-mata. Akhirnya, hasil yang kita
nak tengok dari segala kemajuan liga tempatan adalah prestasi pasukan
kebangsaan.
“Kalau liga kita semakin popular, penonton bertambah ramai, gaji
pemain setanding dengan CEO tapi pasukan Harimau kebangsaan masih tak ke
mana, maka ada sesuatu tidak kena. Kalau begitu keadaannya kita hanya
syok sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairy dalam pada itu mengakui berbangga dengan perkembangan Liga
Malaysia sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan jumlah penonton
kadang-kala lebih ramai daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Katanya, stadium bola sepak di seluruh negara mula dibanjiri
penyokong masing-masing dengan identiti tersendiri sekaligus memberi
kesan baik dalam aspek komersial.
“Baru-baru ini FAM berjaya menjual hak penyiaran Liga Malaysia pada
jumlah hampir RM 1.3 bilion selama 15 tahun. Syabas dan tahniah kepada
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Zaman saya jadi Timbalan Presiden FAM, RTM hanya bayar FAM RM6 juta
untuk hak yang sama. Ini bermakna, liga tempatan sekarang sangat berdaya
maju secara komersial,” katanya.
Sehubungan itu, Khairy melahirkan keyakinan Liga Malaysia akan terus
maju dibawah pimpinan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah selaku Presiden FAM.