ALOR SETAR - Para penduduk kampung yang tinggal berdekatan Charuk Temingat,
Padang Terap gempar dengan penemuan mayat seorang gadis remaja di pinggir
kawasan Hutan Simpan Pedu bersebelahan jalan Durian Burung malam tadi.
Penemuan mengejutkan yang dilapor pada kira-kira pukul 7 malam itu disedari oleh beberapa individu yang sedang mencari madu dalam hutan berkenaan.
Menurut sumber, mayat yang ditanam dalam keadaan mengereng itu dipercayai seorang
wanita yang turut dikaitkan dengan kes kehilangan dua gadis kira-kira sebulan
lalu daripada daerah itu dan Sik.
Seorang saksi yang enggan dikenali
berkatal seorang lelaki yang juga bapa saudara salah seorang remaja yang
dilaporkan hilang itu menemuinya meminta pertolongan untuk menggali
kawasan tempat mayat itu ditemui dengan kawalan beberapa anggota polis.
Katanya, kerja pengalian itu turut dibantu beberapa orang kampung dan
anggota polis hingga ternampak tangan manusia sebelum memberhentikannya
untuk tindakan lanjut pihak polis.
“Kami hanya menggali sampai nampak lengan dan Bahagian lutut kiri
mangsa,” katanya yang percaya mayat tersebut baru beberapa hari ditanam, sebagaimana yang dipetik dari BH Online, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner, Mohd Nashir
Ya, berkata pihak polis mendapat laporan mengenai penemuan tersebut kira-kira jam 7 petang semalam namun
perlu menunggu unit forensik untuk tindakan lanjut.
Selain itu, Nashir juga menjelaskan bahawa beberapa penduduk kampung yang sedang mencari madu
menemui satu kawasan seperti baru digali dan ditutup dengan ranting
kayu.
“Lelaki itu curiga bila ternampak seolah kawasan itu baru digali dan terus melaporkannya kepada pihak polis.
“Kita tidak dapat menentukan identiti mangsa setakat ini kerana belum mendapat sebarang maklumat mengenainya.
“Bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita percaya mangsa adalah seorang perempuan,” katanya mengesahkan penemuan tersebut. -Kedahnews.com