Hanya 4.3% Dari 1.6 Juta Umat Islam Johor Bayar Zakat Harta – MAIJ

Dilaporkan hanya seramai 4.3 peratus iaitu 75,000 orang penduduk Muslim Johor yang membayar zakat harta yang berjumlah sebanyak RM197.5 juta pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Md Rofiki A Shamsudin berkata, jumlah berkenaan adalah terlalu rendah jika dibuat perbandingan dengan jumlah keseluruhan penduduk Islam negeri itu iaitu sekitar 1.6 juta orang.

Menurut Md Rofiki, pihak MAIJ akan mengadakan lebih banyak penerangan tentang perlunya membayar zakat harta kepada rakyat Muslim negeri itu.

Beliau memaklumkan pihak MAIJ menyediakan pelbagai saluran untuk membayar zakat antaranya melalui potongan gaji setiap bulan, bayaran di kaunter bank, pejabat Pos Malaysia dan perbankan internet.

Seruan juga diberikan kepada syarikat korporat di Johor untuk membayar zakat perniagaan kepada MAIJ.

MAIJ mensasarkan kutipan zakat berkenaan tahun ini sebanyak RM230 juta.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis perasmikan Program Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Tahun 2016 Peringkat Daerah Ledang di Dewan Pusat Pengajian Al-Quran Masjid Jamek, Tangkak hari ini.

Kadi Daerah Ledang Sheikh Mohd Zaini Mohd Salleh dan Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang Sairozi Subakhir turut hadir. -Kedahnews.com