Hanya Kerana Jeling, Lelaki Ditetak Di Pulau Pinang

GEORGETOWN – Hanya kerana menjeling, seorang remaja parah ditetak selepas diserang sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.

Menurut sumber, V Inthiren, 18, bersama dua rakan menghabiskan cuti hujung minggu dengan menonton wayang di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa yang berasal dari Paya Terubong dikatakan baharu sahaja keluar dari panggung wayang bersama rakan sebelum diserang sekumpulan enam hingga 10 lelaki yang bersenjatakan parang dan topi keledar.

Difahamkan, kejadian di tingkat lima itu berpunca dari rasa tidak puas hati kumpulan lelaki berkenaan terhadap mangsa yang dikatakan memandang dan menjeling mereka dengan pandangan yang kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, difahamkan mangsa tidak mempunyai sebarang masalah peribadi atau hutang dengan kumpulan terbabit atau pihak lain.

Berikutan itu, mangsa yang parah di pergelangan tangan kiri dengan luka sepanjang lapan sentimeter (cm) dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abdul Rahman Ahmad mengesahkan kejadian itu dan sedang mengesan suspek yang terlibat.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan untuk mengetahui punca kejadian.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk memberi maklumat kepada polis bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, seorang buruh ladang maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki kerana berlaga bahu dengan seorang pemuda ketika berlangsung upacara sembahyang di Tokong Sri Maha Mariamman, Ladang Chersonese, Bagan Serai, Perak.

Kejadian pada Jun 2012 itu melibatkan T Eharajoo, 34, (ketika itu) yang dikatakan berselisih faham dengan salah seorang suspek kerana didakwa cuba mencetuskan pergaduhan ketika upacara itu berlangsung.

Mangsa dan adik lelakinya kemudian dibelasah dengan benda keras oleh 15 lelaki di hadapan sebuah dewan di Jalan Siakap, Kuala Kurau ketika hendak pulang ke rumah.

Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan muka meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital sementara adiknya hanya cedera di badan dan muka. - Sinar Harian