KUALA LUMPUR – Mengapa seseorang perlu memohon pengampunan jika dia benar-benar tidak bersalah?
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, seseorang yang tidak melakukan kesalahan tidak sepatutnya memohon pengampunan.
Justeru, katanya, langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon
pengampunan diraja ke atas hukuman penjara lima tahun dihadapinya kerana
meliwat menimbulkan persoalan ramai.
“Walaupun mejadi hak mana-mana banduan memohon pengampunan, PKR mesti
menjelaskan mengapa Anwar perlu dikecualikan daripada hukuman bagi
jenayah yang telah disabitkan.
“Sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab, PKR tidak perlu
meletakkan kepentingan pemimpin mereka melebihi undang-undang,” katanya
dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Kata Keng Liang, seseorang yang telah didapati melakukan jenayah oleh
mahkamah perlu menjalani hukuman yang ditetapkan tanpa mengambil kira
mereka adalah ketua pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, jika PKR tidak bersetuju dengan hukuman kerana
meliwat dihadapi pemimpin pembangkang tersebut, maka wajar PKR
mencadangkan supaya hukuman kerana meliwat dimansuhkan.
“Tidak ada asas yang baik untuk pengampunan dan pengecualian hukuman
melainkan jika jenayah liwat dimansuhkan oleh Parlimen,” katanya.
Sumber: Mynewshub.cc