Abdul Rahman (depan, kiri) ketika melawat Tanah Perkuburan Islam Sungai Puteri sambil diiringi pemimpin setempat untuk melihat proses menanda arah kiblat tanah perkuburan tersebut. |
Rompin - “Hukum membina binaan kekal di tanah perkuburan, hukumnya haram,”
tegas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman ketika diminta
mengulas mengenai tindakan sebahagian masyarakat Islam kini yang gemar
membuat binaan konkrit kekal pada pusara ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, tanah perkuburan adalah tanah wakaf dan ia tidak boleh menjadi hak milik.
"Sekarang ni, ramai waris kepada pusara-pusara Islam buat binaan
kekal seperti memasang konkrit yang siap dipasang batu marmar,
kadang-kala siap dipasang pagar… itu tidak boleh.
"Jika berlaku sedemikian, itu bermakna hak bahagian orang lain telah
kita ambil. Sedangkan, tanah kubur adalah tanah wakaf. Maka, haram
hukumnya di dalam Islam.
"Tetapi, jika waris hendak buat binaan kekal sedemikian ia boleh
dilakukan, dengan syarat jenazah berkenaan dikebumikan di tanah milik
sendiri.
"Tetapi, jenazah umat Islam lebih baik dikebumikan di tanah perkuburan
iaitu di tempat yang ramai,"jelasnya ketika ditemui di majlis
meletakkan papan tanda petunjuk arah kiblat di Tanah Perkuburan Islam
Sungai Puteri, di sini yang turut dihadiri Adun Tioman, Datuk Mohd
Johari Hussain dan Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat.
Menyentuh mengenai keadaan beberapa pusara di tanah perkuburan
tersebut yang dilihat turut dibina binaan kekal oleh pihak waris, Abdul
Rahman berkata, pusara-pusara lama sedemikian tidak perlu dipecahkan
untuk diganti semula dengan yang baharu.
"Pusara-pusara lama di sini yang telah dibuat binaan kekal tidak
mengapa… cuma kini kita akan fokus pada kubur-kubur baharu supaya pihak
waris tidak membuat binaan kekal.
"Waris kepada pusara lama di sini
mungkin tidak tahu mengenai hal ini sebelum ini. Sehubungan itu, ia
tidak mengapa…” jelasnya. – Sinar Harian