SHAH ALAM – Harga runcit baharu petrol dan diesel bagi Mac akan
berkuatkuasa mulai tengah malam ini, kata Menteri Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.
Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan sama ada harga baharu petrol
dan diesel yang bakal diumumkan nanti meningkat ataupun sebaliknya.
Hasan juga berkata pihaknya akan meneruskan kempen penurunan harga di
seluruh negara meskipun berlakunya perubahan terhadap harga petrol dan
diesel sama ada menjurus kepada peningkatan ataupun penurunan.
“Harga minyak bukan faktor utama menentukan harga barangan tetapi
sebaliknya ada faktor lain yang mempengaruhi harga barangan sama ada ia
turun ataupun naik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan
promosi ‘Lebih Nilai, Lagi Hebat’ bagi produk minuman dan makanan Nestle
(M) Bhd di sini hari ini.
Pada 1 Feb lepas, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol
RON95 sebanyak 21 sen kepada RM1.70 seliter, RON97 turun 11 sen kepada
RM2.00 seliter sementara diesel turun 23 sen kepada RM1.70 seliter.
Mengulas mengenai kempen Nestle hari ini, Hasan berkata ia adalah
kempen promosi terbesar Nestle yang menawarkan penjimatan antara lapan
hingga 33 peratus bagi 50 produk terpilih Nestle termasuk Milo, Maggi
dan Nescafe.
Beliau berkata kempen itu yang akan berlangsung sehingga akhir bulan
depan adalah inisiatif Nestle bagi menangani kos sara hidup rakyat
ketika negara menghadapi harga minyak yang tidak menentu. – BERNAMA