KUALA LUMPUR — Harga runcit bagi petrol RON95 diturunkan 21 sen
seliter kepada RM1.70 seliter manakala harga RON97 diturunkan sebanyak
11 sen seliter kepada RM2 seliter berkuat kuasa hari ini, 1 Feb 2015.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk
Seri Hasan Malek berkata harga runcit bagi diesel pula diturunkan
sebanyak 23 sen seliter kepada RM1.70 seliter.
Beliau berkata kerajaan pada 21 Nov 2014 memutuskan bahawa penetapan
harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan
terkawal bermula 1 Dis 2014.
“Harga baharu bagi petrol dan diesel dibuat berdasarkan kepada purata
harga kos produk sepanjang bulan Januari 2015 dan kadar pertukaran
matawang,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos
produk dan kadar pertukaran mata wang setiap masa untuk menetapkan
harga runcit petrol dan diesel bagi bulan-bulan berikutnya.
“Semua syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak diingatkan agar
mematuhi penetapan harga baharu ini dan tindakan tegas akan diambil bagi
mereka yang melanggar peraturan harga baharu yang ditetapkan kerajaan
ini,” katanya.– BERNAMA