Harga Minyak Jatuh, Mokhzani Hilang Separuh Kekayaan


KEJATUHAN harga minyak di pasaran global memberi kesan besar kepada ramai jutawan di Malaysia, malah jauh lebih teruk dari jangkaan apatah lagi apabila harga minyak dunia menjunam daripada kemuncak AS$115 setong kepada bawah AS$50 setong.

Beberapa taikun industri minyak dan gas terkenal tanah air dilaporkan ‘hilang’ separuh nilai kekayaan mereka berjumlah ratusan juta dollar termasuk Mokhzani Mahathir yang suatu ketika pernah berada dalam kedudukan individu ke-26 paling kaya di Malaysia. 

Beliau merupakan pelabur terbesar di rantau Asia tenggara dalam syarikat penyediaan perkhidmatan minyak dan gas SapuraKencana Petroleum, dikatakan langsung terkeluar daripada senarai individu billionaire di Malaysia sejak akhir tahun lalu.


Nilai kekayaan beliau merosot 42 peratus, angka tertinggi dari sudut peratusan dan paling besar berbanding jutawan lain, manakala pelabur utama SapuraKencana, dua beradik Shahril dan Shahriman turut kerugian hampir 40 peratus nilai kekayaan mereka.

Kemerosotan separuh harga minyak antarabangsa bermakna kekayaan duo itu turut jatuh daripada AS$1.4 bilion (RM5.2 bilion) setahun lalu kepada hanya AS$860 juta (RM3.08 bilion) kali ini dan menduduki tangga ke-21 berbanding ke-11 pada tahun lalu.


Uniknya, kejatuhan harga minyak memberi kesan besar kepada tiga individu teratas senarai billionaire tempatan iaitu Robert Kuok, Ananda Krishnan dan Quek Leng Chan yang turut memiliki kepentingan secara signifikan dalam sektor operasi minyak dan gas.

Sekadar rekod, 11 daripada 50 manusia terkaya di Malaysia mempunyai hubungan rapat hasil pendapatan mereka dengan sektor minyak dan gas; bahkan kebanyakan mereka dilaporkan paling terjejas dibandingkan billionaire bukan sektor berkenaan.

Sejumlah 24 individu terkaya dalam senarai untuk tahun ini malah menyaksikan nilai bersih kekayaan mereka turut merosot dengan teruk sejajar situasi ‘kelesuan’ bursa saham tempatan dan kejatuhan harga minyak global bagi tempoh lebih enam bulan.

Ia sekali gus menyebabkan nilai mata wang ringgit jatuh kira-kira 10 peratus berbanding dollar Amerika Syarikat, ditambah pula beberapa insiden buruk yang berlaku di rantau ini akhir tahun lalu memburukkan lagi keadaan sedia ada. 























Sumber: Mynewshub.cc