Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Malaysia,
Eric Paulsen, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan menerbitkan
kenyataan fitnah di laman mikro Twitter peribadinya pada 10 Januari
lalu.
Walau bagaimanapun, sebaik pertuduhan dibacakan di depan Hakim Abdul Rashid Daud
pada pukul 11.17 pagi tadi, Paulsen, 42, walau bagaimanapun mengaku
tidak bersalah dan telah meminta untuk dibicarakan.
Menurut fakta kes, perbuatan tersebut didakwa dilakukannya di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman pada jam 8 malam.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Sharuddin Wan Ladin mengendalikan kes
berkenaan mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Wan Sharuddin mencadangkan RM5,000 sebagai wang jaminan namun peguam
tertuduh, Gobind Singh Deo, kemudiannya berhujah bahawa anak guamnya
merupakan seorang peguam dan tidak mempunyai sebab untuk tidak hadir.
Hakim kemudiannya menetapkan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.
Mengimbas kembali kes berkenaan, Eric pada awal Januari lalu difahamkan telah mengeluarkan
satu kenyataan kontroversi dengan mendakwa Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) mempromosikan ektremisme pada setiap Jumaat.
Kenyataan melulu Paulsen tersebut telah membangkitkan rasa tidak puas hati
di kalangan majoriti masyarakat Islam yang mengaitkannya dengan khutbah Jumaat yang
disediakan oleh pihak JAKIM.
Setelah menerima pelbagai tekanan dari ramai pihak, Paulsen kemudiannya bertindak memadamkan entri
tersebut dari laman Twitternya.
Empat hari selepas itu, dia kemudian ditahan reman selama dua hari untuk siasatan pihak berkuasa atas laporan polis yang telah dibuat terhadapnya. -Kedahnews.com