KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ditahan
kerana mempamerkan kain rentang (tifo) seorang pemimpin berwajah anjing
dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Larkin, Johor Baharu Sabtu malam.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin
Mohd Amin berkata kesemua mereka telah ditahan reman selama lima hari
bagi membantu siasatan polis.
“Apa yang berlaku di stadium semalam adalah sikap segelintir
penyokong yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang
berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif.
“Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim sendiri mengakui baginda kecewa dan menganggap isu kain
rentang itu adalah satu perbuatan tidak wajar.
“Penyokong yang tidak berpuas hati sepatutnya perlu mendapatkan fakta
yang jelas terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hamidin berkata PBNJ telah bertindak cepat dengan mengarahkan marshal
yang dibantu dengan pihak polis bagi menangkap penyokong terbabit dalam
masa sejam.
“FAM akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua persatuan bola
sepak negeri dan kelab supaya memantau kain rentang penyokong
masing-masing supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang boleh
menimbulkan provokasi,” katanya.
Hamidin turut menegaskan FAM bukan persatuan yang dikendalikan oleh
seorang individu sahaja tetapi meliputi semua kelab dan persatuan negeri
gabungan.
“Ini bermakna semua ahli gabungan di bawah FAM bertanggungjawab dalam
hal ini dan semua penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak
terkecuali,” katanya.
Pada perlawanan semalam, JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad
Shah 2015 dengan mengalahkan juara Piala Malaysia musim lepas, Pahang
2-0. – BERNAMA