KUALA LUMPUR – Honda Malaysia melancarkan model baharu kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, HR-V ke pasaran tempatan.
Model SUV terlaris di Jepun itu didatangkan dalam tiga varian iaitu
1.8S, 1.8E dan 1.8V dengan harga atas jalan masing-masing ialah
RM99,800, RM108,800 dan RM118,800.
Dalam tempoh sebulan, Honda Malaysia menerima 1,500 tempahan dalam siri pameran bergerak model itu di seluruh negara bulan lalu.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Roslan Abdullah,
berkata HR-V adalah segmen baharu dalam pasaran automotif tempatan bagi
mengisi kekosongan antara segmen sedan permulaan serta SUV.
“Honda Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk menjual 700 unit
model ini sebulan,” katanya pada majlis pelancaran Honda HR-V di sini
hari ini.
HR-V didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu Modern Steel
Metallic, Tafetta White, Alabaster Silver Metallic, Crystal Black Pearl
dan Ruse Black Metallic.
Ia dilengkapkan dengan pelbagai ciri keselamatan komprehensif seperti
enam beg udara bagi varian V, kamera mengundur, isyarat berhenti
kecemasan dan bantuan penstabil kenderaan.
Honda Malaysia menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan
jarak antara servis 10,000 kilometer bagi HR-V yang boleh ditempah di 78
pengedar seluruh negara.
Pemilik yang ingin mendapatkan kemasan lebih sporty boleh memilih dua
pakej kit badan Utility dan dua pakej Modulo pada harga bermula
RM1,550. – BH Online