Hubungan Pasang Surut Malaysia-Indonesia, Apa Masa Depannya? @FaazFitriah

Nampaknya, ketidak sefahaman yang tercetus antara negara kita dan jiran seberang, Indonesia masih belum bernoktah. Walaupun hubungan antara kerajaan kukuh, namun segelintir rakyat Indonesia dilihat tidak senada dengan pemerintahnya.

Dalam lipatan sejarah, kedua-dua negara memang mempunyai latar yang kurang memberangsangkan, baik dari segi politik, tuntutan hak mahupun budaya yang diaplikasikan.

Melontar jarak masa dalam lingkungan 50 tahun ke belakang, Indonesia dan Malaysia pernah berseteru dalam satu peperangan akibat ketidakpuasan hati negara seberang terhadap penggabungan Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Setelah presiden Soekarno melancarkan gerakan ‘Ganyang Malaysia’ pada 27 Julai 1963, negara tersebut mula melancarkan serangan demi serangan terhadap Malaysia.

Berlanjutan selama beberapa tahun, akhirnya pada 28 Mei 1966, satu penyelesaian dimeterai kedua-dua negara di Bangkok, Thailand, lantas peperangan berakhir sebulan kemudian dan perjanjian perdamaian ditandatangani pada 11 Ogos tahun sama.

sipadan-island-in-malaysia-ed-robinson

Bukan itu sahaja, kedua-dua negara pernah berbalah dalam pemilikan dua pulau iaitu Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan yang akhirnya memihak kepada Malaysia.

Pada tanggal 17 Disember 2002, Mahkamah Antarabangsa memberikan kedaulatan kedua-dua aset itu kepada Malaysia, lantas ia seperti mendarahkan kembali luka lama Indonesia.

Tidak terhenti di situ, Indonesia sering membidas Malaysia dalam aspek budaya apabila acapkali menuduh Malaysia mencuri nilai kebudayaan yang berakar umbi dari sana.

Kemuncaknya, rakyat negara itu menggelar Malaysia sebagai ‘Malingsia’, gabungan dua perkataan iaitu Maling dan Malaysia.

Terma ‘Maling’ yang membawa maksud ‘pencuri’ digunakan sebagai simbolik kepada penduduk negara ini yang kononnya sering mengambil ‘aset’ Indonesia tanpa kebenaran terutamanya budaya.


Sebagai contoh, dalam kempen mempromosikan Malaysia pada tahun 2007, Kementerian Pelancongan Malaysia menggunakan lagu ‘Rasa Sayang Eh’ sebagai irama latar dalam klip videonya, namun ia kemudiannya membangkitkan hela kurang enak oleh Indonesia.

Gabenor Maluku Karel Albert Ralahalu tegas menyatakan bahawa lagu tersebut (di Indonesia dikenali Rasa Sayange) milik mereka, lantas gigih mengumpulkan bukti bagi mengukuhkan dakwaan tersebut.

Namun, isu tersebut kemudiannya perlahan-perlahan sepi setelah bukti yang didakwa Indonesia tidak cukup konkrit. Mana taknya, sampai filem Hindustan pun turut memuatkan lagu tersebut jadi susur galurnya tidak jelas dan rumit.

barongan 2

Hilang isu ‘Rasa Sayang Eh’, muncul pula isu tarian Barongan yang turut dikatakan diciplak dari tarian Reog yang dibawa masyarakat Islam di Ponorogo yang berhijrah ke Malaysia suatu ketika dahulu.

Gerak tari, kostum dan watak yang ditampilkan dalam tarian Barongan yang popular di Johor dikatakan mirip dengan tarian Reog.

Tidak mahu memanjangkan cerita, Malaysia memutuskan untuk menghentikan promosi tarian tersebut sebagai salah satu warisan budaya masyarakat Malaysia.

Selain itu, antara hiburan dan budaya lain yang digembar-gemburkan negara seberang sebagai hasil dari budaya asal mereka adalah permainan wayang kulit, pakaian batik, hidangan rendang dan muzik angklung.

Filosofi Membatik

Timbul persoalan di benak ramai, mengapakah sebahagian rakyat sana sengaja ingin mencucuh api perseteruan, walaupun jelasnya Malaysia banyak memberikan sumbangan.

Bukan menuduh kesemua rakyatnya mendendami Malaysia, namun hakikatnya memang ada sebilangan yang ingin melihat kedua-dua Malaysia dan Indonesia bermusuhan secara nyata!

Sedarkah kita, tinggal serumpun dalam Kepulauan Melayu, memang lumrahlah untuk masing-masing memiliki persamaan dalam budaya serta cara hidup, sementelah kita pun berkongsi bahasa yang hampir sama. Tak mungkin suatu hari nanti Indonesia bakal menuntut penggunaan bahasa juga?

Lagi pula, ramai rakyatnya kini mejadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka untuk mencari rezeki dan tidak dilayan buruk, maka apa sebab rasional untuk senario ini berlanjutan?

Ya, apa yang kita perlukan sekarang adalah hidup bertoleransi dan saling hormat-menghormati, takkan sebab semangkuk rendang mahupun sepinggan popiah kita nak berperang, kan?

























Sumber: Mynewshub.cc