Beberapa kejadian misteri dilaporkan telah menghantui hidup seorang ibu dan anaknya apabila mendakwa mereka seolah tidak dapat hidup bersama di bawah satu bumbung.
Nor Hawa Ahmad, 34, dan anaknya yang berusia 10 tahun
terpaksa berpisah buat sementara waktu ekoran berlakunya kebakaran
misteri setiap kali mereka bersama.
Kejadian menimpa dua beranak yang tinggal di Felda Kahang Timur,
Kluang ini menjadi tanda tanya banyak pihak termasuk keluarga mereka
sendiri.
Mengimbas kembali kejadian, Hawa mendakwa kejadian mistik ini berlaku
sejak November tahun lalu selepas diganggu dengan perkara pelik seperti
pintu dan tingkap rumah tertutup dan terbuka sendiri.
Gangguan misteri berpanjangan hinggalah barangan di rumahnya seperti
tilam, pakaian, telekung dan langsir terbakar secara tiba-tiba tanpa
diketahui puncanya.
Insiden ini menyebabkan dia terpaksa menumpang rumah keluarganya namun kebakaran misteri terus berlaku.
“Selepas beberapa minggu melalui kejadian pelik, kami bercadang
menumpang di rumah ibu mentua berhampiran namun kebakaran itu berlaku
pula di rumahnya.
“Ia berlarutan apabila kami berpindah ke rumah ibu saya di Kulaijaya
dan keadaan menjadi lebih teruk kerana kebakaran berlaku lebih besar
sehingga memerlukan bantuan bomba untuk memadamkan api,” katanya.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan tentang perkembangan terkini dua beranak tersebut.
Bagaimanapun, Kedahnews.com mendoakan semoga keluarga ini terus tabah menghadapi
ujian seumpama itu dan selamat dari anasir-anasir jahat makhluk halus dari jin dan syaitan, mahupun ilmu sihir yang masih lagi menjadi amalan di zaman serba internet ini. Wallahu'alam. -Kedahnews.com