Ibu Tunggal Di Padang Serai Rayu Bantuan Untuk Anaknya

PADANG SERAI - Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) disahkan mengalami penyakit saraf menyebabkannya tidak mampu bergerak dan bergantung hidup dengan ibunya di Taman Ria Padang Serai di sini.

Sufi Naim, 6, memerlukan kerusi roda khas untuk memudahkannya bergerak dan perkara ini membimbangkan ibunya, Nur Emylia Ariffin, 34, yang tidak mampu menyediakan kemudahan terbabit.

Nur Emylia yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, dia yang bekerja di syarikat swasta terpaksa meninggalkan Sufi untuk dijaga ibunya, Ashah Bee Che Mee, 57.

Menurutnya, Sufi bukan sahaja mengalami masalah bergerak tetapi mempunyai masalah usus dan hanya bergantung kepada susu formula yang dimakan bersama roti.

“Saya terpaksa bekerja untuk menyara keluarga dan membeli keperluan anak seperti susu, lampin dan sebagainya. Sufi mengalami masalah usus yang tidak boleh makan makanan lain selain susu dan roti sejak kecil.

“Harga susu formula satu tin kira-kira RM30 dan hanya bertahan untuk dua hari. Gaji saya tidak cukup untuk membeli susu terbabit selain lampin pakai buang juga mahal,” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Emylia berkata, walaupun bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan namun, ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan Sufi.

Katanya, bantuan kerusi roda khas untuk kegunaan anaknya amat diperlukan dan harganya mencecah ribuan ringgit.

“Saya tak mampu untuk beli sendiri kerusi roda terbabit. Saya harap ada pihak yang boleh membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Padang Serai, Asmadi Abu Talib dan Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 15, Samsul Anuar meluangkan masa melawat dan menyumbangkan barangan keperluan harian kepada Sufi. -Sinar Harian