Imigresen Kedah Berkas 114 PATI Dari Pelbagai Negara


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 114 Pendatang Asing Tanpa Izin menerusi Operasi Bersepadu di Sungai Petani dan Padang Serai awal hari ini.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, serbuan dilakukan di kawasan tapak pembinaan dan rumah kongsi yang dihuni warga India, Indonesia, Myanmar, Nepal serta Bangladesh.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka telah melanggar peruntukan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

"Mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka akan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Belantik di Sik.

Katanya, Operasi Bersepadu itu turut disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Unit Pencegahan Penyeludupan dan Jabatan Pendaftaran Negara Kedah. –Bernama