KUALA LUMPUR – Baru-baru ini dilaporkan seorang pelukis mencetuskan
kontroversi ekoran penghasilan karya yang dilihat berbaur penghinaan
terhadap institusi diraja, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung
motif beliau.
Lukisan berkenaan yang tersebar di media sosial telah mengundang
reaksi negatif pelbagai pihak dan desakan supaya pelukis berkenaan
disiasat.
Artis kelahiran Malaysia, Vincent Leong dengan hasil karya bertajuk ‘Kenapamu, Malaysia (Why, Malaysia?)’
dalam satu pameran seni Art Stage Singapore 2015 yang diadakan di Pusat
Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Singapura pada 22 hingga 25 Jan
lepas didakwa mempamer karya yang memaparkan sisi belakang badan Yang
di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri dan
pandangan Tugu Negara dari sisi belakang.
Apakah mesej yang ingin Leong sampaikan dengan menghasilkan karya
sedemikian? Adakah kritikan sosial menerusi karya seni beliau itu dapat
diterima secara terbuka oleh masyarakat negara ini?
Usaha Bernama untuk menghubungi Leong sehingga artikel ini ditulis gagal.
JAGA SENSITIVITI
Mengulas perspektif karya seni, seorang pelukis veteran Dr Choong Kam
Kow, 80, berpandangan sebagai seorang pelukis, mereka harus menjaga
sensitiviti kaum, agama dan budaya kerana perkara seperti ini akan
menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat.
“Adalah lebih elok jika setiap pelukis mempunyai prinsip yang jelas
sebelum menghasilkan sesuatu karya. Mempunyai kebebasan untuk berkarya
tidak semestinya ‘bebas’ sehingga melampaui batasan,” kata pelukis
berasal dari Ipoh, Perak.
Beliau berkata pelukis juga mempunyai peranan dan tanggungjawab
sosial dalam menyampaikan mesej untuk mendidik masyarakat melalui karya
seni yang dihasilkan mereka.
Choong, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari
National Taiwan Normal University, berkata karya-karya seni yang
bertemakan perpaduan akan membantu menyemai rasa cinta di kalangan
rakyat.
KARYA BERETIKA
Bagi seorang guru pendidikan seni Khairul Hashimi Mahamad, 35,
berkata tidak dinafikan pelukis mempunyai kelebihan untuk berkarya akan
tetapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan lukisan yang
tidak disalahertikan oleh masyarakat.
“Saya yakin setiap pelukis ada etika masing-masing walaupun niat
mereka hanya untuk menghasilkan karya yang unik tetapi pastikan ia
(karya) tidak mendatangkan kesan negatif kepada rakyat.
“Apa yang dilakukan oleh Vincent Leong memang tidak patut kerana dia
adalah rakyat Malaysia. Sepatutnya dia tahu apa yang dilakukan olehnya
itu adalah salah,” katanya yang mengajar di sebuah sekolah menengah di
Ipoh, Perak.
Beliau berkata keharmonian dan keamanan negara adalah menjadi
tanggungjawab bersama seluruh rakyat dan hal seperti ini boleh
menjejaskan perpaduan kaum.
SEMANGAT PATRIOTISME
Melihat daripada perspektif sejarah negara, ahli sejarawan Profesor
Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkata pemikiran generasi muda hari ini
lebih mengutamakan keinginan materialisme dan sanggup mengadaikan maruah
negara demi memenuhi kepentingan diri.
“Ini bukan kali pertama, ada individu yang cuba mempertikai atau
mempermainkan sejarah negara termasuk isu insitusi diraja, ia berpunca
daripada kelemahan individu itu sendiri yang tidak memahami erti
sejarah.
“Sekarang ini pun, kalau kita tanya kepada generasi muda atau orang
ramai apakah kepentingan insitusi raja, pasti ramai yang gagal untuk
menjawabnya,” katanya kepada Bernama.
Walaupun sistem pendidikan sedia ada telah menyediakan mata pelajaran
sejarah yang menyentuh isu-isu seperti negara bangsa, perpaduan,
kenegaraan dan semangat nasionalisme, beliau berkata kaedah tersebut
masih belum cukup mantap dalam melahirkan masyarakat yang patriotik.
Katanya adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap warganegara untuk
belajar menghargai dan menterjemahkan prinsip kebebasan individu dalam
cara yang tidak menyalahi undang-undang.
POPULARITI
Bagi pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di
Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
berkata tindakan artis itu hanya menimbulkan kontroversi dan mungkin
bertujuan mencari populariti, menarik perhatian ramai.
“Mengapa dia (Vincent Leong) perlu melukis gambar yang mencetuskan
kontroversi sedangkan dia boleh memilih untuk tidak melukis gambar yang
mempersendakan institusi diraja.
“Saya tidak rasa isu ini ada kaitan dengan politik cuma cara dia
melukis gambar-gambar atau menghasilkan karya seperti itu seolah-olah
cuba mengelirukan rakyat misalnya dalam tajuk yang digunakan,” katanya.
Secara umumnya masyarakat mengetahui insitusi diraja adalah lambang
kedaulatan negara dan sememangnya ia telah lama wujud, justeru rakyat
perlu menghormati dan tidak mempersendakan institusi berkenaan, kata
Sivamurugan. – BERNAMA