Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Permainan Video Berperanan Berganda Dalam Talian atau
lebih dikenali sebagai ‘MMORPG’ (Massively Multiplayer Online
Role-Playing Game) semakin menjadi kegilaan remaja hingga mereka sanggup
ponteng sekolah semata-mata untuk melayarinya di kafe siber.
MMORPG merupakan sebuah genre dalam permainan video komputer yang
membolehkan sekumpulan pemain berinteraksi antara satu sama lain dalam
dunia maya dan mereka boleh mengawal watak dalam permainan serta
menentukan tindakan yang dilakukan oleh watak berkenaan.
Kewujudan kafe siber yang menawarkan pakej serendah RM4 hingga RM5
bagi tempoh lima jam memburukkan lagi keadaan, apabila remaja cenderung
menjadikan premis itu sebagai ‘sarang’ untuk mereka ponteng sekolah.
Walaupun hampir semua kafe siber meletakkan notis pelajar berpakaian
sekolah tidak dibenarkan masuk ke premis, namun terdapat pelajar sekolah
yang masih menjadikannya sebagai tempat untuk melepaskan ‘gian’
mereka.
Tinjauan Bernama di beberapa premis kafe siber sekitar Wangsa Maju
mendapati terdapat kelibat kumpulan pelajar sekolah mengenakan T-shirt
tetapi masih memakai seluar dan kasut sekolah, yang sedang ghairah dan
riuh-rendah bermain permainan video itu tatkala rakan sebaya sedang
mengikuti pelajaran di sekolah.
Seorang pelajar tingkatan tiga yang hanya ingin dikenali sebagai Wan,
15, berkata dia menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam setiap
minggu di kafe siber bersama empat rakan sekolah.
“Saya mula mengenali permainan MMORPG daripada rakan dua tahun lepas
dan amat menyeronokkan apabila dapat bermain secara beramai-ramai.
Kadang- kadang saya dan rakan-rakan ponteng sekolah tapi bukan selalu.
Hanya satu atau dua kali seminggu, pada hari Isnin atau Jumaat sahaja,”
katanya kepada Bernama.
Wan berkata dia hanya menggunakan separuh belanja sekolah antara RM3
hingga RM5 untuk permain permainan video bersama rakan-rakan kerana
bimbang perkara itu akan diketahui oleh ibu bapanya.
“Setakat hari ini masih belum ‘kantoi’ lagi bang,” katanya dengan
senyuman sambil menghembus asap rokok apabila ditanya penulis di luar
premis sebuah kafe siber.
Beliau berkata antara permainan video MMORPG yang menjadi
kegemarannya ialah ‘Dota 2′, ‘World of Warcraft’, ‘Clash of clans’,
‘Elder Scrolls Online’.
Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (Page),
Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata masalah ponteng sekolah kerana
berada di kafe siber bukan masalah baharu sebaliknya telah lama berlaku
disebabkan pelajar terutama lelaki yang tidak mempunyai minat untuk
belajar.
“Bagi mengatasi perkara itu adalah tidak cukup sekadar menghukum
pelajar terbabit sebaliknya usaha menanam minat belajar dengan menukar
corak pembelajaran adalah kaedah terbaik.
“Pihak berwajib perlu fikirkan kaedah terbaik untuk menarik minat
golongan pelajar ini untuk belajar. Contohnya memperkenalkan mata
pelajaran Teknikal dan Vokasional kepada pelajar terbabit kerana mereka
tidak berminat dengan mata pelajaran bersifat akademik,” katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah dengan
kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenakan tindakan
disiplin terhadap pelajar ponteng adalah langkah yang baik. – BERNAMA