BASEL, Switzerland – Lukisan yang dihasilkan Paul Gauguin pada abad
ke-19 berjaya memecahkan rekod karya seni paling mahal apabila dijual
pada harga mencecah £197 juta (RM1.06 bilion) pada satu lelongan di sini
baru-baru ini.
Lukisan yang diberi nama Nafea faa ipoipo itu memaparkan dua wanita
Tahiti selepas Paul menghabiskan masa di pulau tropika itu pada
penghujung abad ke-19.
Bekas pemiliknya, Rudolf Staechelin yang merupakan seorang pengumpul
hasil seni dan berasal dari sini mengesahkan penjualan tersebut. Dia
menyatakan, lukisan itu dijual berikutan harga yang ditawarkan cukup
lumayan.
“Persoalannya, mengapa sekarang? Ia adalah kerana harga yang
ditawarkan kepada kami cukup lumayan,” katanya kepada New York Times.
Rudolf bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pembeli tersebut,
namun ada dakwaan yang mengatakan lukisan itu dibeli oleh kerajaan
Qatar.
Jika laporan mengenai jualan tersebut disahkan, ia sekali gus akan
memadam rekod sebelum ini yang dipegang artis seni Paul Cezanne selepas
lukisannyayang bertajuk The Card Players dilelong pada harga £170 juta
(RM918 juta).
Gauguin dan Cezanne merupakan sebahagian daripada pelukis kelahiran
Perancis yang melonjak reputasi selepas kematian mereka.– Agensi