Islam Arah Umatnya Berlaku Adil Pada Bukan Islam - Ayatollah Ali Khamenei

TEHERAN -  Pemimpin Agung berfahaman Syiah di Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei menegaskan Islam mengarahkan umatnya supaya memberi layanan yang adil kepada penganut agama lain.

Beliau dilapor menyuarakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dengan wakil agama minoriti di Parlimen.

"Keadilan seakan tidak lagi wujud dalam sesebuah kerajaan atau negara sebaliknya ia hanya boleh dilihat dalam lingkungan dasar terhad dan sempit mereka," katanya yang dipetik dari media antarabangsa, hari ini.

Khamenei turut menyelar kempen propaganda anti-Islam yang semakin meningkat di Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

"Penduduk Islam di negara berkenaan tidak lagi mendapat hak keselamatan perlindungan fizikal selepas hak kebebasan mereka dirampas sewenang-wenangnya," tegasnya.

Menurutnya lagi, filem Hollywood seperti American Sniper adalah salah satu contoh karya yang boleh menyebabkan orang Islam menjadi sasaran serangan kebencian agama.

"Islam tidak menerima pendekatan seumpama ini kerana Islam percaya kepada konsep keadilan," jelasnya lagi. - Kedahnews.com