Mohamad Sabu |
KOTA BHARU – Isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang
diperjuangkan DAP akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS pada masa akan
datang, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, selepas selesai dibincangkan di peringkat partinya, isu itu akan dibincangkan pula dalam pakatan pembangkang.
“Soal parti memberi pandangan masing-masing itu perkara biasa dalam
parti politik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran
gabungan impian Kelantan bagi mengumpul sumbangan untuk membantu mangsa
banjir di negeri ini, di sini, malam tadi.
Ketika ditanya tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang
mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk berdebat
berhubung isu pilihan raya PBT itu yang menjadi kemelut antara PAS dan
DAP, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu cuba mengelak dengan
berkata: “Tak mahu komen apa-apa.”
Akhbar sebelum ini melaporkan Mustafa mencabar Lim, yang juga
Setiausaha Agung DAP, bersemuka berikutan dakwaan Lim bahawa beliau
(Mustafa) tidak jujur dalam isu pelaksanaan pilihan raya PBT. – BERNAMA