Jaminan Tenaga Negara Perlu Dikaji Semula?

KUALA LUMPUR - Malaysia masih mengimport beras, makanan ruji kita, dan dalam konteks jaminan makanan, idea itu sudah lama dibangkitkan, namun negara masih bergantung besar ke atas import beras.

Bagi sebuah negara membangun yang menuju ke arah status negara maju dalam tempoh lima tahun, kita mungkin terfikir sama ada Malaysia sudah bersedia dari segi jaminan untuk penduduknya.

Mana-mana anggota tentera sudah pasti dapat memberitahu anda doktrain ketenteraan mengenai tindakan untuk melindungi negara dan bagaimana jika tersilap langkah boleh menjurus kepada pelbagai masalah.

Ini membangkitkan persoalan adakah kita sudah mempunyai doktrain jaminan ke atas keperluan asas seperti tenaga dan air?

Seperti doktrain ketenteraan yang disediakan untuk disesuaikan dengan keperluan setiap negara, Malaysia perlu bertindak bijak dengan menyediakan doktrain tenaga yang akan memastikan bekalan tenaga berkekalan dalam jangka lebih panjang.

Walaupun Suruhanjaya Tenaga memainkan peranan penting dalam mengawal selia penjanaan tenaga sehinggalah kepada bekalan, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai penyedia tenaga negara, perlu lebih proaktif dalam cara ia mengawal rangkaian bekalannya.

Idea mengenai jaminan tenaga perlu menjadi fokus utama TNB dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan berita baiknya ialah TNB sudah pun berada di hadapan.

Inilah sepatutnya dilihat mengapa TNB merancang mengambil alih baki kepentingan sahamnya dalam Integrax Bhd (Integrax) yang belum dimilikinya seperti yang diumumkan pada Jumaat.

TNB yang menguasai 22.12 peratus kepentingan dalam Integrax, mahu mengambil alih baki kepentingan pada RM2.75 sesaham melibatkan sebanyak RM644.23 juta, menjadikan pengambilalihan pertama seumpamanya oleh sebuah syarikat utiliti terbesar ke atas syarikat senarai awam.

Walaupun pasaran kewangan melihat langkah TNB mengambil alih Integrax sebagai suatu proses korporat yang biasa, namun apa yang tersembunyi ialah pengambilalihan ini bertujuan memiliki Terminal Pukal Lekir menerusi Integrax, yang akhirnya menjurus kepada jaminan tenaga negara.

Yang nyata, daripada perspektif TNB, tindakan itu mungkin disebabkan syarikat utiliti itu, yang merupakan pengguna utama tunggal pelabuhan di Lumut, tempat operasi loji tenaga Janamanjung, sudah semestinyalah ia juga menjadi pemilik terminal itu, dengan beralih peranan daripada pelanggan kepada pelindung jaminan bekalan elektrik.

Tanpa justifikasi itu, mengapa TNB, penjana dan pembekal tenaga mahu mengambil alih kawasan simpanan arang batu dan terminal yang ia sudah pun menjadi pemegang saham utamanya?

Ini disebabkan TNB tidak boleh menyumber luar segala-galanya, dan perlukan perkhidmatan dan infrastruktur kritikal, sebahagian daripada rangkaian bekalan berada dalam pemilikannya.

Cuba kita lihat mengapa terminal ini kritikal kepada TNB.

TNB Janamanjung, loji tenaga Manjung yang menggunakan arang batu, terletak di pulau buatan manusia di luar pantai Perak, lokasi Pelabuhan Lumut.

Pelabuhan Lumut ialah pintu masuk bekalan arang batu TNB ke Loji Tenaga Janamanjung, loji tenaga arang batu terbesar Malaysia, yang membekalkan kira-kira 20 peratus daripada jumlah bekalan di Semenanjung Malaysia menjelang 2018.

Kini, tiga loji tenaga membekalkan bekalan elektrik kepada hampir empat juta rumah di Semenanjung Malaysia, membakar 20 tan arang batu sehari atau 6 juta tan arang batu setahun.

Pembinaan Manjung 4 penting bagi memenuhi permintaan untuk bekalan elektrik negara yang dijangka meningkat kepada 17,579 MW tahun ini. Apabila Manjung 4 beroperasi, ia akan memberi manfaat kepada hampir enam juta rumah di Semenanjung Malaysia.

Manjung 5 TNB yang dijadual beroperasi pada Oktober 2017, bermatlamat memenuhi ketidakcukupan tenaga selepas projek dasar laut Bakun di Sarawak diabaikan.

Manjung 5 yang menambah 1,000 MW kapasiti, akan memastikan margin rizab mencukupi untuk TNB dalam menstabilkan grid nasional menjelang 2017.

Grid nasional mesti mengekalkan rizab mencukupi antara 20-25 peratus.

Memandangkan arang batu dibeli dari Indonesia, Australia dan Afrika Selatan, pelabuhan merupakan komponen bersepadu kepada loji tenaga Janamanjung, dan akauntabiliti untuk bekalan penjanaan dan bekalan tenaga negara, dan bukannya oleh pihak ketiga, kata penganalisis.

Dalam erti kata lain, pengambilalihan itu merupakan langkah 'taktikal' dan 'strategik', bukan sahaja daripada perspektif perniagaan, malah yang lebih penting daripada perspektif jaminan tenaga negara.

Malaysia tidak mahu terperangkap dalam situasi sama seperti bekalan air sejak dua tahun lepas apabila Selangor negeri paling maju di Malaysia, perlu mencatu bekalan air ekoran rizabnya yang rendah.

Inilah akibat daripada keputusan oleh kerajaan negeri pemerintahan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menangguhkan kelulusan untuk pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang akan menyalurkan air dari Pahang untuk memenuhi permintaan bekalan air negeri yang semakin meningkat.

Krisis air yang berlarutan, dengan empangan Sungai Selangor kering pada tahap yang lebih cepat daripada mengisinya, menjejaskan pelbagai industri, antara lain pemposesan makanan dan minuman, elektrik dan elektronik selain pelancongan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini memetik perangkaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa catuan air di selangor dari Mac hingga Mei tahun lepas menyebabkan kerugian berjuta ringgit kepada sekurang-kurangnya 30 syarikat dalam negeri.

Selangor rugi RM11.2 juta sebulan dalam tempoh ini yang menyaksikan Nestle mengalami kerugian harian RM15 juta sepanjang dua bulan krisis manakala Panasonic terpaksa melepaskan 40 juta pesanan.

Banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan di Selangor dan Kuala Lumpur manakala beberapa syarikat terpaksa memindahkan sementara operasi di luar Lembah Klang.

Seperti penjanaan dan bekalan tenaga Janamanjung, Selangor bergantung ke atas Empangan Sungai Selangor untuk air, dengan membekalkan lebih daripada 60 peratus permintaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Dari 28 Feb hingga 1 Mei, berjuta isi rumah mengalami catuan apabila paras air di empangan turun serendah 31 peratus, tidak sampai satu peratus daripada paras kritikal.

Projek Janamanjung, menerusi beberapa loji tenaga, dijangka menyumbang kira-kira 32 peratus kapasiti penjanaan TNB menjelang 2017 dan memerlukan bekalan besar arang batu import dari luar negara.

Keputusan korporat penting oleh TNB ini sudah pasti dapat memenuhi jaminan keperluan tenaga negara.- BERNAMA