Jangan Sampai Islam Tergadai Kerana Tahaluf Siyasi, Kaji Semula - MB Kelantan


DEWAN Ulama PAS akan mengkaji kerjasama tahaluf siyasi yang dilaksanakan dengan parti-parti sekutu di dalam Pakatan Rakyat antara PKR dan DAP.

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Ahmad Yaakob berkata ia perlu untuk memperbaiki beberapa aspek dari semasa ke semasa.

Ahli-ahli parti PAS juga diingatkan supaya tidak mengenepikan dasar parti demi mencapai tujuan bersama dalam tahaluf berkenaan.

“Jangan sampai berlaku prinsip-prinsip Islam dibiarkan tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyasi,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Ahmad berucap di hadapan kira-kira 1,000 ahli PAS pada Multaqa Ulama Malaysia kali ke-2 di Serdang hari ini.

Beliau berkata tiada pembatalan akan berlaku dalam kajian itu dan mahu semua pihak jangan menyelar langkah yang diambil oleh Dewan Ulama PAS itu.

Menurut Ahmad, sesebuah tahaluf itu boleh dileraikan sekiranya ia dilihat telah dirosakkan oleh pihak rakan tahaluf yang lain.

“Ini disebabkan pengkhianatan dalam tahaluf adalah jalan kepada kemusnahan kekuatan tahaluf dan tiada lagi manfaat kepada tahaluf itu,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya PAS memutuskan akan tetap bersama dengan tahaluf siyasi dengan rakan-rakan dari komponen parti dalam Pakatan Rakyat.

Kerjasama antara PAS, PKR dan DAP kerapkali dilihat tegang dan panas sejak kebelakangan ini khususnya ketika konflik pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru pada ketika itu.

Ketika itu, Menteri Besar yang dipuji pemimpin Pakatan Rakyat sebelum Pilihanraya ke-13, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, cuba "digulingkan" partinya sendiri PKR, namun pada PAS tegas mahu Abdul Khalid dikekalkan.

Lebih panas, gabungan PKR dan DAP pada ketika itu menyokong mahu meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Wan Azizah adalah isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhirnya selepas berminggu-minggu kemelut itu berterusan, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sehingga kini.

Sebelum itu, PAS terpaksa memecat pengasas dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali kerana bercanggah pendirian mempertahankan akidah umat Islam di negeri itu bagi menghormati tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, juga pernah mempersoal tentang kewajaran tahaluf siyasi partinya dengan PKR dan DAP berbanding UMNO dan BN yang disifatkan jauh lebih baik hikmahnya. -Kedahnews.com