ALOR SETAR – Beberapa penggali kubur terkejut apabila menemui keranda
dan jenazah masih sempurna walaupun sudah dikebumikan hampir 15 tahun
lalu ketika kerja menggali kubur dilakukan di Tanah Perkuburan Islam
Masjid Al-Irfan, Derga di sini, pada Selasa.
Penggali kubur, Mansor Ahmad, 57, berkata, mereka mendapat arahan
dari pihak pengurusan untuk menggali kubur bagi mengebumikan jenazah
baru yang meninggal dunia kerana sakit jantung, bersebelahan kubur
berkenaan.
“Selepas menggali tanah sedalam satu meter, tiba-tiba tanah
bersebelahan runtuh dan kami dapati sebuah keranda yang masih sempurna
di dalamnya. Kami terkejut kerana keranda itu sudah dikebumikan 15 tahun
lalu.
“Bagaimanapun keranda itu masih sempurna seperti baharu sahaja
dikebumikan. Tambah pelik, keranda itu berada dalam ruang yang kosong
dan tanah tidak pula menutupinya,” kata Mansor kepada Sinar Harian.
Kain kafan masih putih
Mansor berkata, bagi memastikan keadaan jasad terbabit, dia membuka
keranda dan melihat jenazah masih lagi sempurna dan tilam yang ada di
dalam bagi melapik jenazah masih lagi kelihatan seperti baru.
“Oleh kerana kerja menggali kubur terpaksa dilakukan, saya memegang
jenazah dan menolak keranda itu masuk ke dalam dan merasai jasad
terbabit seperti baru dikebumikan,” katanya.
Kain kafan jenazah juga masih lagi putih dan tidak berbau.
“Pengalaman itu merupakan kali kedua saya alami sejak menjadi penggali kubur hampir 40 tahun di tanah perkuburan ini.
“Sebelum ini, pada 1980-an, saya serta beberapa rakan pernah
terdengar ketukan sesuatu dari dalam kubur hingga menyebabkan imam
terpaksa dipanggil bagi menyelesaikannya,” katanya.
Menurutnya, jenazah masih sempurna ditemui itu ialah seorang guru,
Mohd Najib Abdullah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di
Mersing, Johor dan jenazah dibawa pulang dari Mersing dan dikebumikan di
situ.
Syukur kebesaran ALLAH SWT
Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdullah Omar, 75, dari Kampung Alor
Melong di sini, berkata, semasa keluarganya mendapat tahu tentang
keadaan jenazah anaknya itu, dia sungguh terharu dan bersyukur dengan
kebesaran ALLAH SWT.
Katanya, semasa kerja menggali kubur dilakukan, seorang daripada
anaknya turut berada di situ dan terkejut apabila melihat jenazah abang
sulung mereka masih sempurna.
“Pada masa itu, semua yang ada tergamam melihat kubur yang sekian
lama itu masih lagi sempurna apatah lagi keranda itu seperti berada di
dalam gua.
“Anak saya bersyukur kerana inilah pengalaman pertamanya melihat
jenazah lama yang masih lagi sempurna apatah lagi darah daging sendiri,”
katanya.
Abdullah berkata, semasa arwah dikafankan serta dibawa pulang dengan
kenderaan jenazah dahulu, pemandu kenderaan terbabit memaklumkan
kepadanya bahawa sepanjang perjalanan dari Mersing, dia sentiasa terhidu
bau wangi di dalam kenderaan sehinggalah tiba di kampungnya.
“Bagaimanapun pada masa itu pakcik hanya mendengar sahaja dan berdiam.
“Tetapi dengan peristiwa ini, sekali lagi ALLAH SWT menunjukkan kebesaran terutama kepada kita yang masih hidup ini,” katanya.
Al-Quran jadi teman rapat
Menurutnya semasa meninggal dunia, anaknya itu berusia 29 tahun dan
dia seorang yang pendiam serta tidak banyak bercakap tetapi suka
menolong saudara-mara dan rakan-rakan.
“Dia tidak pernah ingkar arahan jika diberikan tanggungjawab malah
kerap membantu ibunya di dapur. Sebelum menjadi guru, dia pernah tinggal
di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga selama beberapa bulan dengan bekerja
sebagai warden di situ.
“Selain itu, arwah anak saya mengajar akademik kepada pelajar tahfiz
di situ serta turut menjadi imam. Al-Quran merupakan teman rapatnya
walaupun dia tidak menghafalnya,” katanya.
Mansor berkata, semasa arwah anaknya itu menetap di maahad terbabit,
pelajar di situ sangat sukakannya sehingga setiap kali tiba musim cuti
persekolahan, dia akan pulang melawat pelajar serta sentiasa prihatin
dengan pengajian mereka.
“Di antara anak didiknya di maahad terbabit ialah bekas Adun Bukit Lada, arwah Ahmad Izzat Shauki,” katanya. – Sinar Harian