TOKYO – Buat julung kali dalam sejarah, kerajaan
Jepun mengumumkan bakal mewajibkan semua rakyat negara itu yang ‘penagih
kerja’ atau workaholic untuk mengambil cuti berbayar paling kurang lima hari dalam setahun, lapor agensi berita tempatan Jiji Press.
Langkah drastik itu terpaksa dibuat dalam usaha
menurunkan jumlah kes pesakit mental akibat kerja terlalu lama tanpa
cuti tahunan susulan laporan terbaharu Kementerian Buruh yang mendapati
seorang daripada 6 pekerja enggan bercuti wajib tahunan.
Kajian kementerian itu malah menunjukkan sepanjang
tahun 2013 lalu, ramai pekerja hanya mengisi 9 hari daripada 18.5 hari
cuti berbayar yang layak wajib diambil dalam setahun akibat faktor
budaya masyarakat tempatan ‘malu’ bercuti lebih lama.
Undang-undang tersebut bakal dibentang pada sesi
Parlimen kali ini dan jumlah 5 hari itu dipilih ekoran pertikaian antara
pihak persekutuan majikan Jepun yang mahu 3 hari sahaja diberi manakala
kesatuan sekerja menuntut 8 hari cuti berbayar mandatori.
Budaya kerja keras warga Jepun disebut sebagai ‘karoshi’
atau bekerja sehingga mati mengakibatkan majoriti pekerja di negara
Matahari Terbit itu menghidap masalah tekanan dan banyak kes maut kerana
terlebih bekerja tanpa henti direkodkan akhir-akhir ini.
Menurut kajian laman web pengembaraan terkenal Amerika Syarikat, Expedia,
Perancis menikmati 37 hari cuti berbayar manakala Sepanyol 32 hari dan
Denmark 29 hari dengan purata pekerja di 3 negara itu mengambil lebih 90
peratus daripada cuti mereka.
Jepun pula meskipun mewartakan 15 hari cuti
berkanun tahunan melibatkan perayaan keagamaan dan peristiwa kebangsaan,
namun kurang 70 peratus daripada pekerja negara itu bercuti pada hari
berkenaan atau menggantikannya pada hari lain.
Ini memaksa kerajaan Jepun sejak beberapa tahun
lalu mula memindahkan beberapa hari kelepasan umum itu agar dekat dengan
hari minggu bagi menggalakkan pekerja untuk bercuti lebih lama, sekali
gus mampu meningkatkan sektor pelancongan domestik.
Malah tahun ini, dua kali pada Mei dan September
menyaksikan cuti mingguan lebih panjang sehingga lima hari yang boleh
dihabiskan untuk berehat dengan keluarga bagi mengurangkan tekanan kerja
serta merangsang produktiviti baharu. – Agensi