"Jika Benar Aniaya Anwar, Di Dunia Lagi Saya Sudah Dimasukkan Dalam Neraka"


Sangat optimis terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan penghakiman kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Shafee Abdullah berkata, beliau berani melafazkan sumpah di masjid mahupun tanah suci Mekah.

Beliau yang mengetuai barisan pendakwaan bagi kes tersebut turut menafikan menganiayai Anwar ketika mengemukakan petisyen rayuan supaya Ketua Umum PKR itu disabitkan bawah hukuman Seksyen 377B kanun keseksaaan, tiga tahun lalu.

Menerusi temubual dengan sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini Shafee menegaskan bahawa sekiranya beliau menganiaya Anwar, beliau yakin Allah SWT akan membalas perbuatan tersebut di dunia tanpa perlu menunggu di akhirat.

Malah katanya, jika "balasan" tersebut tidak berlaku pada dirinya, berkemungkinan ia akan berlaku pada keluarga peguam berkreadibiliti tinggi itu.

 “Kalau saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya sudah masuk neraka.

“Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya.

“Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah,” kata Shafee.

Pelbagai teori konspirasi timbul di media sosial dan ‘lidah rasmi’ pembangkang setelah keputusan penghakiman yang mensabitkan Anwar dengan tuduhan liwat terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan diumumkan mahkamah pada 10 Februari lalu.

Meskipun begitu, tidak ada satu pun yang dapat memberikan bukti yang benar-benar kukuh bagi menyangkal mana-mana pembuktian yang dikemukakan dalam perbicaraan yang memakan masa selama tujuh tahun itu. - Kedahnews.com