Alor Setar - Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mahu mereka yang menolak hukum hudud supaya tidak tinggal di bumi ciptaan Allah SWT.
Dalam kenyataan yang dipetik dari laman Facebook miliknya, Khalil menegaskan bahawa bumi adalah merupakan milik Allah SWT dan makhluk yang menghuninya
perlu mengikut peraturan penciptanya.
"Sesiapa yang mahu hidup di tempat yang tidak melaksanakan hukum hudud
dipersilakan dengan syarat jangan hidup di bumi ALLAH.
"Bumi ini adalah milik ALLAH kenapa kita nak hidup dan tak mahu ikut peraturan ALLAH.
"Pelik dan ajaib! Sama seperti orang tumpang berteduh di rumah kita tiba-tiba tak nak ikut cakap tuan rumah," tulis Timbalan Ketua Pemuda PAS itu.
Tegas Khalil lagi, pelaksanaan hudud tidak boleh diukur hanya dengan akal
semata-mata malah pertambahan kes jenayah di negara ini berlaku ekoran
masyarakat sudah tidak menghormati undang-undang sedia ada.
"Jangan kita mengukur pelaksanaan hukum hudud dengan akal semata-mata.
Kita tak fikir bila dilaksanakan hukum hudud masyarakat akan hormat dan
jenayah berkurang.
"Banyaknya jenayah pada hari ini bukan kerana tidak ada undang-undang
tetapi masyarakat sudah tidak menghormati undang-undang yang sedia ada
kerana ia tidak menggerunkan penjenayah untuk melakukan jenayah," tulisnya lagi.
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang berlangsung semalam dilapor tidak berjaya menyelesaikan kemelut
dalaman "pakatan" tersebut yang berlaku antara DAP dan Pas ekoran DAP menolak
keras pelaksanaan hukum hudud secara total di Kelantan.
Lebih menjadi tanda tanya, sidang media selepas mesyuarat perikatan itu
tidak disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -Kedahnews.com