JKM Alor Setar Cari Waris Bayi Perempuan Ditinggalkan

ALOR SETAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar sedang mencari ibu bapa atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah hospital swasta pada 9 November tahun lepas.
 
Pegawai Pelindung JKM Kota Setar, Mohd Basharuddin Samsudin berkata, bayi perempuan yang kini berusia dua bulan itu dibawa oleh ibunya, seorang warga Indonesia dikenali sebagai Sutri Ruknana Sari.
 
Katanya, bayi itu dipercayai dilahirkan di sebuah rumah pada 9 November lepas sebelum dibawa ke hospital swasta di daerah ini kerana dilahirkan dalam keadaan pramatang dengan berat 1.05kg tanpa sebarang dokumen.
 
Beliau berkata, pihak hospital swasta itu kemudian menghantar bayi itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan sihat serta diberi nama Satirah Sofea, katanya kepada pemberita hari ini.
 
Mohd Basharudin berkata, pihaknya memohon agar ibu bapa atau waris terdekat kepada bayi itu tampil ke JKM Kota Setar untuk menuntut bayi berkenaan atau menghubungi di talian 04-7202370.

Beliau berkata, kes berkenaan dirujuk di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001 kerana ibu keberatan untuk memelihara dan menjaga anak.
 
Katanya, ibu bapa dan waris bayi itu diberi tempoh sehingga 25 Februari ini untuk menuntut semula bayi mereka sebelum JKM mengambil tindakan lanjut dengan menyerahkannya kepada keluarga pelihara mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 30(1)(e) Akta Kanak-kanak 2001. - Bernama